KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang dilancarkan hari ini, mampu menyumbang kepada hasil tinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kelak.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata air bakal menjadi aset ekonomi yang signifikan, kerana potensinya untuk menjana pendapatan adalah besar meskipun buat masa ini pengurusannya belum memberikan pulangan ekonomi yang optimum.
Untuk itu beliau berkata agenda transformasi AIR 2040 yang dilaksanakan menerusi empat fasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 hingga Ke-15, bakal memacu keterjaminan dalam aspek kesejahteraan rakyat melalui penerapan lapan pemacu perubahan untuk memperkasakan landskap sektor air negara secara holistik.
“Menerusi AIR 2040 tersebut, sebanyak 106 projek yang boleh dilaksanakan dalam RMK12 (dari 2021-2025) untuk jangka masa terdekat.
“Secara keseluruhan sehingga empat fasa ini, ada jangka segera, sederahana dan panjang. Jadi sebanyak 87 strategi dengan 600 sasaran serta 601 KPI (petunjuk prestasi utama) untuk empat fasa itu sehingga 2040,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (Air 2040) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Fadillah berkata untuk fasa pertama ini (RMK12) kementeriannya memfokuskan mempergiat Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM), manakala fasa kedua (RMK13, 2026-2030), fokus bagi membangunkan teknologi tempatan setanding standard antarabangsa.
Bagi fasa ketiga tersebut (RMK14, 2031-2035), beliau menjelaskan ia akan menumpukan kepada mencapai ekonomi bidangan, manakala fasa terakhir (RMK15, 2036-2040) pula akan memfokuskan kepada Malaysia sebagai hab industri air serantau terutama dalam konteks ASEAN.
Fadillah turut memaklumkan kajian AIR 2040 telah dilaksanakan sejak tahun 2020 oleh Kementerian Ekonomi, yang menjadikan Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai rakan strategiknya.
“Ia mempunyai dua objektif kajian iaitu bagi memastikan keselamatan dan kemampanan air serta menjadikan air sebagai peluang ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan berhasrat membuka bidaan daripada sektor swasta sebagai pendekatan pembiayaan alternatif bagi membantu mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan bagi menangani isu air tidak terhasil (NRW) yang tinggi.
Beliau berkata sebahagian besar projek berkaitan air masih dibiayai oleh kerajaan dan oleh itu untuk memastikan kelangsungan dan kemampanan sektor air, terdapat keperluan untuk mengimbangi antara pembiayaan awam dan swasta.
“Kami membuka ruang kepada sektor swasta untuk menawarkan penyelesaian kepada kerajaan, termasuk pakej pembiayaan agar kami bukan sahaja dapat selesaikan isu yang dihadapi sekarang, tetapi diharapkan dapat mempercepatkan penyelesaiannya.
“Kami bercakap tentang menggantikan paip lama dengan paip baharu. Anggaran kami jika kerajaan untuk melaksanakannya, ia akan menelan belanja kira-kira RM10 bilion,” katanya.
Fadillah berkata purata NRW nasional ialah kira-kira 35 peratus daripada jumlah pembekalan air, tetapi terdapat beberapa negeri yang melepasi 50 peratus, sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kos pendapatan kira-kira RM2 bilion setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial