SINGAPURA, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menjalankan kajian mengenai skim insurans keselamatan sosial bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari ke republik itu.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang berada di Singapura untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-28, berkata beliau membuat komitmen ini kepada diaspora Malaysia di sini susulan maklum balas daripada kumpulan berkenaan yang meminta perlindungan insurans keselamatan sosial.
“Komitmen saya kepada mereka adalah bahawa kami akan meminta Perkeso untuk mengkaji kebolehlaksanaan dan mekanisme, kerana ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan pas pekerjaan mereka bukan diberikan oleh kita, tetapi oleh pihak Singapura.
Komitmen saya kepada mereka adalah untuk menyediakan beberapa bentuk keselamatan sosial kerana mereka adalah rakyat Malaysia,” katanya kepada media selepas bertemu diaspora Malaysia dalam program Salam Dari Malaysia pada Selasa malam di sini.
Dianggarkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura, dengan antara 300,000 hingga 400,000 orang berulang-alik setiap hari menyeberang tambak.
Mengenai ALMM ke-28 yang bermula pada Rabu, Sim berkata Malaysia akan membangkitkan topik seperti latihan, pekerjaan hijau, keselamatan sosial, dan pekerja migran.
Beliau berkata semasa Mesyuarat Pegawai-Pegawai Buruh Kanan pada Selasa, Malaysia telah membentangkan cadangan untuk menjadi tuan rumah Tahun Kemahiran ASEAN tahun depan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sebagai sebahagian daripada usaha kementerian untuk meningkatkan latihan kemahiran.
“Ini adalah sesuatu yang kami nantikan. Sektor latihan kemahiran Malaysia berpotensi menjadi sektor bertaraf dunia kerana kita mempunyai industri, ekosistem, dan pengalaman,” katanya.
Beliau berkata Tahun Kemahiran ASEAN akan merangkumi pelbagai komponen seperti program, insentif, dan kerjasama antara pelbagai institusi.
Sementara itu, dalam ucapannya Sim menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar dengan portal MyHeart Kesuma dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), di mana rakyat Malaysia boleh berinteraksi secara aktif dan menjalinkan kerjasama dengan Kesuma, agensinya, serta sektor korporat melalui platform itu.
“Diaspora Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai masalah yang perlu kita selesaikan, tetapi sebenarnya sebagai aset kepada negara, dan kami ingin membangunkan aset ini di mana sahaja anda berada,” katanya.
Sejak dilancarkan tahun lepas, portal MyHeart telah mengumpulkan rakyat Malaysia dari 60 negara dan berhubung dengan lebih 40 persatuan di peringkat global.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pengerusi TalentCorp Wong Shu Qi.
-– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial