IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak meneruskan Program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang kini memasuki tahun keempat sejak dilaksanakan pada 2021 dengan menambah peruntukan sedia ada kepada RM3.42 juta berbanding RM2.67 juta pada tahun lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri terus menyokong dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar di Perak.
Beliau berkata program itu menyasarkan 27,432 pelajar yang terdiri daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar kolej vokasional di seluruh negeri.
"Pelajar yang menghadiri kelas tambahan dan sesi tuisyen akan menerima makanan tengah hari bernilai RM5 setiap hari bagi memastikan mereka lebih fokus dan bersemangat untuk hadir ke kelas tambahan serta lebih bersedia menghadapi peperiksaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Peperiksaan Awam 2024 di sini hari ini.
Dana program itu disumbangkan oleh lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama iaitu Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) masing-masing RM1 juta, Perbadanan Menteri Besar (MBInc) (RM700,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) (RM500,000), dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak RM220,000.
Saarani berkata program itu terus menunjukkan kesan positif dalam pencapaian pelajar pada peperiksaan awam dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) SPM meningkat daripada 2.75 pada 2022 kepada 2.83 pada 2023, sementara peratusan lulus penuh meningkat dari 98.13 peratus ke 98.21 peratus.
Tambah beliau, bagi STAM pula, Gred Purata Negeri menunjukkan peningkatan dari 3.29 pada 2022 kepada 3.18 pada 2023, manakala Kadar kelayakan sijil SPM meningkat dari 90.10 peratus pada 2022 kepada 92.55 peratus pada 2023 dengan Gred Purata Negeri meningkat dari 4.92 kepada 4.75.
"Program ini juga meringankan beban kewangan ibu bapa, menyediakan nutrisi yang diperlukan pelajar dan memperkukuhkan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Persatuan Ibu Bapa Kolej Vokasional dalam menyokong kejayaan pelajar di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial