KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Produk inovasi siren frekuensi bunyi dan lampu khas untuk mengawal serangan gajah liar yang dibangunkan FELCRA Berhad Kawasan Sri Mahkota, Johor dipilih sebagai pemenang Anugerah Kualiti Ladang bagi kategori Inovasi Ladang pada Majlis FELCRA Visionary Award 2024 di sini malam tadi.
Pengurus FELCRA Berhad Kawasan Sri Mahkota Nur Ariff Sahar, 27, berkata kemenangan inovasi Siren SM Mammoth itu membolehkan pihaknya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta plak dan sijil penghargaan.
“Saya amat bersyukur kerana inovasi ini telah membantu peladang estet dan pekebun kecil. Kami sudah jalankan projek ini selama dua tahun dan Alhamdulillah, ia berjaya membantu menyelamatkan ladang kami daripada serangan gajah liar,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.
Nur Ariff berkata ilham menggunakan Siren SM Mammoth itu muncul apabila ladang berkeluasan 800 hektar di Endau, Johor itu kerap menjadi sasaran serangan gajah liar yang datang dari kawasan berhampiran.
“Setiap bulan boleh dikatakan tiga atau empat kali ladang kami diserang, itu yang menjadi pencetus untuk kami membangunkan inovasi yang bersesuaian dan kebetulan FELCRA Negeri Johor juga ada memberikan tip,” katanya.
Beliau berkata gajah merupakan haiwan yang sensitif terhadap bunyi, dan dalam inovasi yang dibangunkan, pihaknya telah menggabungkan frekuensi bunyi siren dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna biru untuk menghalau haiwan tersebut sebagai alternatif kepada penggunaan pagar.
“Gajah sebenarnya takut kepada cahaya berwarna biru, jadi melalui penggunaan lampu LED dan siren, serta pemasangan kamera litar tertutup, kita dapat memantau sepenuhnya keadaan ladang.
“Sebelum ini, kira-kira 250 pokok rosak setiap kali ladang diserang gajah, tetapi kini jumlahnya berkurangan kepada hanya sembilan atau 10 pokok. Sudah tentu ini merupakan perkembangan yang baik,” katanya.
Sementara itu, FELCRA Berhad Nasaruddin Perak dipilih pemenang Anugerah Terbaik bagi kategori Kilang Sawit Terbaik dan pengurus kilang berkenaan, Mohd Jefri Amat mendedikasikan kejayaan itu kepada kakitangan syarikat yang bekerja keras dalam merealisasikan inovasi dalam operasi kilang sawit.
Beliau berkata melalui hala tuju dan kaedah pengurusan baharu yang dilaksanakan sejak awal tahun, pihaknya berjaya memberikan pulangan yang menguntungkan kepada FELCRA selain mewujudkan daya saing yang tinggi kepada pesaing lain.
Majlis FELCRA Visionary Awards yang dianjurkan untuk mengiktiraf inisiatif cemerlang dalam inovasi dan pengurusan oleh para peneraju serta warga FELCRA turut mempertandingkan dua lagi anugerah lain, iaitu Anugerah Kualiti Kilang dan Infrastruktur, serta Anugerah Anak-Anak Syarikat dan Anugerah Terbaik.
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, diiringi Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Idris Lasim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial