WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Tidak Pernah Bincang Tentang Pengenalan Cukai Langganan ChatGPT - Fahmi

31/10/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak pernah membincangkan cadangan pengenalan cukai langganan ChatGPT seperti diperkatakan di media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata sebarang cadangan untuk memperkenalkan cukai baharu perlu dibawa ke Parlimen dan tidak hanya dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

“Setakat ini, kita tidak membincang perkara ini, sama ada di Jemaah Menteri atau dalam kalangan menteri-menteri lain. Tiada perbincangan mengenai cadangan untuk mengenakan cukai (ChatGPT).

“Kita juga tak dengar perkara itu dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi bagi saya, perkara itu tidak boleh dilayan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini hari ini.

Majlis sambutan yang dianjurkan Kementerian Digital itu, dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri.

Sementara itu dalam isu berbeza, Fahmi berkata bahawa Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional perlu diberi masa untuk menjelaskan kerugian RM43.9 juta dalam penjualan pelaburan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) dengan harga RM3.1 juta.

“Kami sedang memantau isu ini...saya belum menerima laporan penuh mengenai perkara sebenarnya yang berlaku. Sudah tentu, banyak orang mempunyai banyak soalan, dan saya rasa kita perlu memberi pihak-pihak berkenaan sedikit masa untuk memberikan respons secara rasmi.

“Sudah tentu, isu ini timbul daripada respons Parlimen yang diberikan. Jadi, saya rasa kita perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk menerangkan situasi yang berlaku, kerana ini melibatkan wang awam, dan tentunya ramai yang ingin tahu,” katanya.

Pada 29 Okt, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pegangang minoriti mereka dalam FashionValet.

Pada 2018, Khazanah telah melabur sebanyak RM27 juta, manakala PNB melabur RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan