WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Eksport Mi Segera Korea Selatan Catat Rekod Baharu Lebih US$1 Bilion Sehingga Oktober

01/11/2024 05:41 PM

SEOUL, 1 Nov (Bernama-Yonhap) -- Eksport produk mi segera Korea Selatan mencapai rekod baharu sehingga Oktober, didorong oleh populariti kandungan hiburan Korea di peringkat antarabangsa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Eksport produk mi segera melonjak 30 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari-Oktober, mencecah US$1.02 bilion, menurut data yang dikumpul oleh Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.

Jumlah bagi tempoh 10 bulan itu sudah melebihi rekod tahunan US$952 juta bagi 2023.

Mengikut destinasi, eksport ke China meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun dalam 10 bulan pertama 2024 kepada US$206.8 juta.

Penghantaran ke Amerika Syarikat meningkat 65 peratus kepada US$176.5 juta, manakala eksport ke Belanda meningkat 57.7 peratus kepada US$76.7 juta.

"Produk mi segera Korea kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat di seluruh dunia dan popularitinya bukan fenomena jangka pendek," kata Menteri Pertanian Song Mi-ryung.

"Kejayaan ini dicapai melalui usaha syarikat membangunkan produk yang disesuaikan dan strategi pemasaran, selain sokongan kerajaan dengan melonggarkan peraturan dan mencari pembeli baharu," katanya.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan