WILAYAH - UTARA > BERITA

Tiada Halangan, Tidak Masuk Campur Siasatan Libatkan NAFAS, Khazanah - PM Anwar

02/11/2024 02:19 PM

BUTTERWORTH, 2 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.

“Sekarang heboh isu Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). Walaupun ia badan yang bebas, tapi ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Baru-baru ini juga ada kes Khazanah Nasional Bhd, yang mana pengerusinya adalah Perdana Menteri.

“Tapi, saya tidak akan halang siasatan kalau ada laporan. Kalau salah, siasat. Kalau salah, dakwa. Kalau salah, hukum,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata suruhanjaya itu telah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Anwar berkata beliau turut menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap NAFAS dan dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran dan pembekalan kontrak baja padi.

“Saya dah lama marah kepada kartel yang cuma menjaga kelompok dia, bukan jaga rakyat,” katanya.

Anwar juga berkata Kerajaan MADANI komited dalam membela nasib rakyat khususnya golongan B40 dan M40, yang penjimatan hasil kerajaan melalui penyasaran subsidi boleh disalurkan kepada golongan sepatutnya, serta membantu penjaja dan peniaga kecil.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan melakukan kajian berterusan, bagi memastikan penyasaran subsidi berkenaan tidak membebankan.

“Kita tarik subsidi untuk golongan T15, namun, itu pun kita masih kaji kerana kita bimbang mungkin ada yang pendapatan RM13,000 tapi anak lima orang dan dua sedang menuntut di universiti. Itu mungkin terbeban. Kita sedang kaji hal ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar mencadangkan persatuan penjaja dan peniaga kecil menubuhkan koperasi yang boleh bergabung, bagi mengurangkan kos pengurusan dan pentadbiran.

“Saya minta (tubuh koperasi), selaraskan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) supaya jangan bertindih, ANGKASA sudah ada pusat pengedaran hampir setiap daerah,” katanya. 

Dalam majlis tersebut, Anwar turut melancarkan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) dengan tema ‘Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi Negara’.

Dasar berkenaan bertujuan memperkasakan penjaja dan peniaga kecil ke arah persekitaran perniagaan yang holistik dan inklusif, untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk Seri R Ramanan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abdul Majid.

HPPK disambut pada 18 Nov setiap tahun bagi menghargai sumbangan golongan penjaja dan peniaga kecil terhadap ekonomi negara.

Bertemakan ‘Penjaja dan Peniaga Kecil MADANI: Berdaya Maju, Mampan, Lestari’, sambutan tahun ini menghimpunkan penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara dalam karnival tiga hari berakhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan