WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YKN Gerak Inisiatif Bilik Kasih Wanita - Nancy

02/11/2024 02:22 PM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bakal menubuhkan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak sebagai ruang rehat khas untuk jururawat wanita hospital itu.  

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek yang mendapat kerjasama syarikat swasta itu pertama kali diwujudkan di negara ini serta bertujuan memberi keselesaan kepada jururawat khususnya ibu yang sedang mengandung atau perlu mengepam susu.

“Bilik Kasih Wanita ini diharap dapat menggalakkan petugas hospital untuk mengutamakan kesihatan serta memberikan manfaat positif dalam membantu memelihara kesejahteraan mental mereka ketika menjalankan tugas hakiki dan menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Tajaan Rakan Strategik YKN bagi Anjung Kasih dan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak di sini hari ini. 

Nancy berkata inisiatif itu diwujudkan mengambil kira khidmat petugas hospital yang sentiasa sibuk dengan jumlah penerimaan pesakit yang tinggi setiap hari.

Dalam sidang media selepas majlis itu, beliau berkata pengwujudan Bilik Kasih Wanita di hospital berkenaan akan melibatkan di tiga wad bagi fasa pertama. 

“Kita mulakan dengan tiga dahulu dan sekiranya ada lagi keperluan dan mendapat lagi tajaan daripada pihak luar, kita akan tambah lagi secara berfasa… memandangkan ini yang pertama kita akan lihat impak Bilik Kasih Wanita ini mempengaruhi (kesejahteraan mental) jururawat.

“Untuk pembinaan bilik ini di hospital negeri lain, kalau ada tajaan oleh pihak swasta, kita akan perluas kerana terdapat keperluan buat mereka,” katanya sambil menambah projek Bilik Kasih Wanita telah menerima tajaan sejumlah RM76,300 daripada Perinsuran Brokar Sdn Bhd.

Selain itu, Yayasan AmanahRaya dan Alliance Islamic Bank Berhad turut memberi tajaan bagi projek Anjung Kasih YKN Hospital Umum Sarawak masing-masing berjumlah RM250,000 dan RM52,500. 

Setakat Ogos lepas, Anjung Kasih atau tempat penginapan sementara yang beroperasi sejak 2014 telah memanfaatkan 18,022 individu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan