WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MIHF24 Sasar 25,000 Pengunjung, Libat Lebih 450 Pempamer

02/11/2024 07:57 PM

MELAKA, 2 Nov (Bernama) -- Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF24) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama tiga hari bermula 20 Dis menyasarkan kira-kira 25,000 pengunjung. 

Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad berkata lebih 450 pempamer dalam kalangan pemain industri halal dari dalam dan luar negara antaranya Vietnam, Bangladesh dan Namibia dijangka menyertai festival berkenaan dengan sasaran jualan sebanyak RM1.8 juta.

"MIHF24 yang bertemakan 'Mengoptimumkan Industri Halal' membawa matlamat untuk memupuk pertumbuhan mampan dalam industri global di samping menjadi platform utama bagi syarikat halal mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada golongan sasar yang lebih luas.

"Harapan kita agar penganjuran festival ini dapat menjadikan Melaka sebagai hab halal antarabangsa pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran MIHF 24 di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata MIHF24 menawarkan ruang perniagaan kepada pempamer produk halal pelbagai kategori seperti makanan, minuman, kosmetik, kesihatan dan pelancongan.

Beliau berkata selain itu, antara aktiviti utama yang berlangsung sepanjang festival berkenaan adalah padanan perniagaan melibatkan pelabur, pengeluar dan pemain industri halal serta bengkel dan seminar berkaitan industri itu. 

"MIHF24 julung kali dianjurkan dan ia juga bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dalam usaha menggamit kedatangan lebih ramai pelancongan domestik dan luar negara," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapannya ketika merasmikan majlis berkenaan berkata kerajaan negeri komited memastikan semua aspek termasuk jualan makanan, restoran dan premis hotel di Melaka diyakini  pelancongan, khususnya dalam aspek 'Halalan Toyyiban'.

Beliau berkata pemilik hotel yang mempunyai premis dapur atau restoran di negeri itu diseru segera memohon pensijilan halal dalam usaha meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan mesra muslim.

Penekanan itu juga selaras dengan pencapaian Melaka yang  meraih Halal State Performance  Excellence Award daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini.

Beliau berkata pengiktirafan berkenaan jelas mempamerkan Melaka ialah negeri yang mendukung hab halal terbaik dan wajar dicontohi semua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan