WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tanah Runtuh Di Pandan Indah: Sebuah Kereta Rosak, Insiden Berulang Lagi Di Tempat Sama

04/11/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Insiden tanah runtuh yang berlaku di Lembah Maju, Pandan Indah pada 12 Okt lepas berulang lagi apabila sebuah kereta jenis Proton Saga terjatuh ke dalam tebing di lokasi sama kira-kira 3.30 pagi tadi. 

Mangsa, Adrian Untam, 44, seorang pemandu e-hailing sepenuh masa berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon dari jirannya yang memaklumkan bahawa keretanya telah terjatuh akibat tanah runtuh itu.

‘’Saya parkir kereta saya selepas balik kerja sekitar 9 malam semalam dan hujan belum mula. Kira-kira pukul 3.30 pagi, jiran hubungi saya dan beritahu kereta saya telah jatuh. Saya sangat sedih sebab itulah (kereta) satu-satunya sumber pendapatan saya," katanya ketika ditemui pemberita. 

Sementara itu, seorang penduduk Taman Lembah Maju, Shaik Mohamed Sadiq Ali, 38, berkata beliau tidak menyangka kejadian tanah runtuh berlaku sekali lagi di lokasi yang sama. 

Beliau berkata insiden tanah runtuh seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang 30 tahun beliau tinggal di kawasan itu, tetapi kini bimbang akan keselamatan dirinya dan penduduk lain, terutamanya apabila hujan lebat.

"Sekarang, kalau hujan saya memang bimbang dan akan parkir kereta jauh (daripada kawasan tebing dan longkang).

"Saya harap pihak berkaitan lebih peka dengan perkara ini untuk keselamatan penduduk setempat, dan selepas ini pihak berkuasa dapat membuat penghadang konkrit (kekal atau usaha lain yang lebih sesuai) kerana kawasan di situ terbuka (tanpa sebarang penghadang)," katanya.

Pada 12 Okt lepas, hujan lebat berterusan telah menyebabkan dua kenderaan hampir jatuh ke dalam longkang selepas tebing sungai di lokasi sama runtuh.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan