WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiada Lagi Pendaftaran Kenderaan NGV Bermula Julai 2025

04/11/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Semua kenderaan yang dikuasakan dengan gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di jalan raya bermula 1 Julai 2025.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri pada 2 Okt lepas atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai, khususnya pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV. 

“Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 hingga 2014. Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan terlibat pada hari ini telah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.

“Tangki-tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti, ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja serta boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat,” katanya pada sidang media pengumuman dasar penggunaan NGV negara di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, terdapat segelintir pengguna telah melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang amat berbahaya dan mendatangkan risiko kemalangan dan letupan sebelum ini.

Loke berkata silinder LPG hanya mempunyai tekanan sekitar 7 bar/100 psi berbanding tangki NGV yang mempunyai tekanan hingga 220 bar/3,200 psi.

Beliau berkata penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan melibatkan kos tinggi hingga melebihi RM7,000 satu kenderaan manakala alat ganti NGV terutamanya tangki tulen sama ada sudah tiada atau amat sukar diperoleh di pasaran tempatan. 

“Dalam hal ini, melalui pemerhatian dan maklum balas diterima, terdapat pemilik kenderaan yang menggunakan alat ganti daripada tangki yang telah digunakan (used), atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG.

“Semua perkara ini akan akhirnya mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Loke berkata pada masa ini, di Malaysia terdapat dua kategori kenderaan motor menggunakan bahan api NGV iaitu kenderaan dikuasakan petrol yang diubah suai dengan kit/komponen bagi penambahan penggunaan bahan api NGV dan kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja.

Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih 95 peratus daripada kenderaan NGV berdaftar adalah kenderaan dalam kategori pertama.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV dalam rekod JPJ bagi tempoh tiga tahun adalah kira-kira 44,383 merangkumi 9,509 teksi dan kereta sewa pandu, kenderaan pendaftaran persendirian (32,137), bas dan lori (2,150) dan 587 unit kenderaan/jentera.

Justeru, beliau berkata berdasarkan data berkenaan, jumlah kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV adalah amat kecil berbanding populasi keseluruhan kenderaan motor berdaftar di Malaysia, iaitu 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan motor selain motosikal.

Beliau berkata sebanyak enam insiden kemalangan melibatkan kenderaan NGV dalam tempoh 2008 hingga 2024, termasuk baru-baru ini (1 Okt 2024), sebuah bas sekolah di Bangkok, Thailand terbakar dan mengorbankan 23 pelajar dan guru, serta letupan dipercayai berpunca daripada percikan api akibat geseran mencetuskan kebakaran pada silinder NGV yang dipasang secara haram.

Selain itu, Loke berkata jemaah menteri turut memutuskan supaya PETRONAS menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat bagi pasaran Malaysia sebelum penamatan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025 dan mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan