WILAYAH - UTARA > BERITA

JBPM Siap Siaga Hadapi MTL, Tumpukan 4,619 Lokasi Kerap Banjir

04/11/2024 05:47 PM

KANGAR, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi tumpuan kepada 4,619 lokasi kerap banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata data daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan jumlah lokasi banjir berkenaan berkurangan berbanding 5,648 lokasi pada 2023.

Sehubungan itu, Nor Hisham berkata bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini, pihaknya bersiap sedia dengan keanggotaan keseluruhan seramai 24,263 orang yang merangkumi 13,646 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,196 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 8,421 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS). 

“Bagi memastikan aset dan peralatan dalam keadaan optimum, JBPM melaksanakan pemeriksaan dan pengujian logistik yang dijalankan secara serentak di seluruh negara.

“Pasukan Gerak Cepat (RED Team) turut bersiap sedia digerakkan sebagai strike team untuk meningkatkan kecekapan kebombaan dan penyelamatan di kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Integriti Tahun 2024 JBPM di sini hari ini.

Nor Hisham berkata sebanyak 22 pasukan gerak cepat itu kini telah berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa dalam tempoh satu jam selepas menerima arahan.

Selain itu, beliau berkata JBPM juga mengaktifkan Regional Forward Base (RFB) bagi mengatur gerak jentera dan peralatan penyelamatan serta pengagihan sumber manusia di tiga zon utama iaitu Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Timur (Terengganu) dan Zon Selatan (Johor) untuk menyokong operasi di lapangan.

“Latihan dalaman dan antara agensi menerusi Disaster Management Exercise (DMEX) turut dilaksanakan bagi memantapkan kemahiran anggota dan koordinasi dengan agensi sahabat dalam menghadapi sebarang kemungkinan semasa bencana banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata JBPM merekodkan sebanyak 273 aduan salah laku bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2024 termasuk aduan berkaitan skandal atau seksual, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan.

“Dalam tempoh sama, 74 pegawai JBPM telah diambil tindakan tatatertib atas kesalahan seperti penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, penglibatan dalam kegiatan kongsi gelap, rasuah dan jenayah seksual.

“Jabatan tidak akan berkompromi dalam isu kesalahan tatatertib dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang terbabit dalam sebarang salah laku,” katanya.

Beliau berkata JBPM melaksanakan beberapa inisiatif dan mekanisme kawalan proaktif bagi memperkukuhkan integriti dalam jabatan, antaranya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang kini memasuki tahun keempat selain 79 Marshal Integriti (MI) dilantik di peringkat negeri bagi memantau serta membantu unit integriti jabatan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan