WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Berhadapan Jadual Padat Pada Hari Kedua Lawatan Kerja Ke Shanghai

05/11/2024 08:52 AM

Daripada Massita Ahmad

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhadapan dengan jadual yang padat, pada hari kedua lawatan kerjanya ke Shanghai, China, di sini.

Hari ini Anwar akan memulakan harinya dengan berucap pada majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7, di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini.

Tahun ini, Malaysia telah diberikan penghargaan sebagai Country of Honour di CIIE ke-7, yang berlangsung selama enam hari, bermula hari ini.

Anwar diberi penghormatan untuk berucap sebaik selepas ucapan Perdana Menteri China Li Qiang, sebelum diikuti pemimpin lima negara lain iaitu Perancis, Nicaragua, Arab Saudi, Tanzania dan Uzbekistan.

Perdana Menteri juga akan merasmikan Pavilion Malaysia dan Pavilion Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pada NECC yang diadakan di kawasan seluas 500,000 meter persegi.

Sejumlah 68 syarikat Malaysia menyertai CIIE tahun ini.

CIIE merupakan inisiatif China untuk menyediakan satu platform kepada negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara itu.

Selepas itu Anwar, dijadual bertemu rakan sejawatannya Li di The Grand Halls untuk membincangkan isu hubungan dua hala sebagai susulan kepada pertemuan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024.

Mereka dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian dan kepentingan bersama.

Ini diikuti dengan majlis pengurniaan Profesor Kehormat daripada Universiti Tsinghua kepada Anwar.

Selepas itu Anwar dan Li akan menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China berkaitan BRI, serta memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kumpulan Media China.

Anwar kini sedang dalam lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov 2024, atas jemputan Li, untuk menghadiri CIIE ke-7 di Shanghai.

Perdana Menteri tiba di sini pada Isnin (4 Nov) untuk persinggahan pertamanya, sebelum ke Beijing.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia di peringkat dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan