WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Gagasan Nadi Cergas Ambil Alih Pengurusan Aset Asrama Pelajar Bernilai RM185 Juta

05/11/2024 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Gagasan Nadi Cergas Bhd bercadang untuk mengambil alih konsesi pengurusan aset asrama pelajar bernilai RM185 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata pemerolehan strategik itu akan mengukuhkan operasi pengurusan fasiliti kumpulan yang sentiasa menjadi kekuatan utamanya, memberikan aliran pendapatan berulang yang stabil dan mantap.

Gagasan Nadi Cergas akan menjalankan langkah korporat bagi mendapatkan kawalan penuh ke atas Konsortium PAE Sepakat Sdn Bhd (KPSSB) yang memiliki konsesi pengurusan fasiliti kemudahan asrama pelajar di tujuh kampus politeknik dengan mengambil alih dua pemegang saham dalam KPSSB iaitu Serata Ehsan Sdn Bhd (SESB) dan Seri Delima Anggun Sdn Bhd (SDASB).

Syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini berkata pengambilalihan KPSSB akan mengembangkan asas pendapatan serta pendapatan kumpulan dalam segmen itu melalui pendapatan mampan dan aliran tunai yang dijana daripada konsesi di bawah KPSSB.

SESB, melalui anak syarikat milik penuhnya, PAE Builders Sdn Bhd, memegang 44.4 peratus kepentingan ekuiti dalam KPSSB, manakala baki 55.6 peratus kepentingan adalah dipunyai SDASB.

Langkah korporat yang dicadangkan memerlukan Gagasan Nadi Cergas menandatangani dua perjanjian jual beli bersyarat.

“Kami akan memperoleh keseluruhan ekuiti kepentingan dalam SESB untuk pertimbangan tunai RM80 juta dan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam SDASB membabitkan tunai sebanyak RM105 juta,” tambahnya.

Sementara itu, KPSSB telah memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia pada 2013 untuk membangunkan serta menyelenggara asrama pelajar di kampus-kampus di Banting, Ipoh, Port Dickson, Johor Bahru, Seberang Prai, Jeli dan Kota Bahru sehingga 2036.

Pengurusan setiap kampus politeknik dibuat oleh sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh KPSSB. Henry Butcher Malaysia (Mont Kiara) Sdn Bhd telah dilantik oleh KPSSB sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan aset pihak ketiga membabitkan asrama pelajar di kampus-kampus politeknik tersebut.

Sementara itu, Wan Azman seterusnya berkata, pemerolehan strategik itu adalah peningkatan nilai bagi kumpulan itu, selepas mengambil kira diskaun harga belian sebanyak 19.1 peratus berbanding nilai buku.

Selainnya, keuntungan selepas cukai sebanyak RM14.1 juta yang dicatatkan oleh KPSSB pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, akan menjana hasil tahunan kira-kira 7.0 peratus.

Segmen pengurusan kemudahan dan utiliti Gagasan Nadi Cergas dilengkapi dengan segmen pembinaan serta pembangunan hartanah.

Segmen pembinaan kumpulan itu mempunyai tempahan dalam tangan yang sihat sebanyak RM478 juta manakala segmen pembangunan hartanah kumpulan berkenaan terlibat dalam pembangunan 6,000 unit rumah mampu milik, 'Rumah Idaman' di Bukit Jelutong dan Kwasa Damansara, serta lebih 1,000 unit rumah mampu milik, Idaman Amani di Bandar Elmina.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan