WILAYAH - UTARA > BERITA

Hutang Judi: Empat Empat Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Ugut, Lepas 2 Das Tembakan

06/11/2024 10:08 PM

BUTTERWORTH, 6 Nov (Bernama) --Polis menahan empat lelaki tempatan termasuk dua beradik bagi membantu siasatan kes ugutan dengan melepaskan tembakan selepas mendakwa mangsa gagal membayar hutang judi di sebuah rumah di Taman Pandan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Zailanni Amit berkata kesemua suspek berusia antara 43 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth selepas menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan, berhubung kejadian berkenaan pada pukul 2 petang semalam.

"Berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi apabila seorang lelaki bersama rakannya datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang sebanyak RM23,000 yang dipercayai berkaitan main judi  antara mereka April lepas.

“Namun kerana tidak berpuas hati, suspek bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum melepaskan dua das tembakan ke dinding rumah untuk menakut-nakutkan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu tetapi bertindak membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan dirinya dan ahli keluarganya.

Zailanni turut memaklumkan bahawa susulan penahanan empat lelaki tersebut, polis merampas sepucuk pistol semi-automatik jenama CZ 75 D CompaCal. P Luger bersama empat butir peluru dan sebutir kelongsong peluru jenis 9mm.

Katanya suspek utama dan rakannya yang masing-masing berusia 43 dan 53 tahun direman enam hari manakala dua beradik yang berusia lingkungan 50-an direman selama  tiga hari.

Menurutnya kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan