WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM6.5 Bilion Saman Tertunggak Di Seluruh Negara Sejak 1990 Hingga Tahun Lepas - Polis

07/11/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM6.5 bilion saman tertunggak membabitkan lebih 43.5 juta saman direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak 1990 hingga 6 Nov 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah itu ialah 33 peratus daripada keseluruhan 135.9 juta saman yang direkodkan PDRM dalam tempoh berkenaan, membabitkan nilai lebih RM20.38 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 92.3 juta saman telah dijelaskan dengan kutipan RM8.56 bilion, manakala bagi sepanjang tahun ini sebanyak 4.3 juta saman didaftarkan hingga semalam membabitkan nilai RM646.2 juta.

“Jumlah saman yang direkodkan tahun ini majoritinya membabitkan kesalahan halangan trafik dan abai isyarat lalu lintas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke JSPT Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik Tun H S Lee di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Yusri yang diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dan Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa melihat sendiri pelaksanaan program semakan dan diskaun saman 50 peratus di balai berkenaan.

Mohd Yusri berkata 17,002 saman telah diselesaikan dalam tempoh dua hari program anjuran Polis Kuala Lumpur itu berlangsung, membabitkan kutipan RM1.88 juta dengan sebahagian besar pembayaran menggunakan kaedah tanpa tunai.

Beliau berkata JSPT membuka 19 kaunter semakan, pinda dan bayaran saman termasuk 14 mesin e-bayaran bagi kemudahan orang ramai sepanjang program tawaran diskaun saman bermula 5 Nov hingga Sabtu ini.

“Kita turut menyediakan khemah menempatkan kaunter MyBayaran Saman, tiga kaunter khusus untuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung di samping menugaskan 40 anggota bagi memastikan kelancaran program,” katanya.

Mohd Yusri berkata tawaran diskaun berkenaan tidak termasuk bagi kes saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan tidak mematuhi isyarat lampu merah.

Beliau berkata kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran, dengan orang ramai dinasihatkan membayar saman dalam tempoh ditetapkan untuk mengelakkan hukuman lebih berat.

Sementara itu Mohd Yusri berkata sebanyak 881,211 saman didaftarkan Polis Kuala Lumpur sepanjang tahun ini dan kesalahan halangan lalu lintas merekodkan jumlah tertinggi dengan 97,806 saman, abai isyarat lalu lintas (45,803) serta tiada lesen memandu (17,405).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan