WILAYAH - TENGAH > BERITA

Sunway Malls Unjur Pertumbuhan 5 Peratus Tahun Ini

07/11/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Pemilik dan pengendali pusat beli-belah terbesar Malaysia, Sunway Malls mengunjurkan pertumbuhan lima peratus tahun ini, didorong oleh prestasi kukuh pada separuh pertama 2024 dan inisiatif penambahan aset iaitu Oasis di Sunway Pyramid yang mula beroperasi.

Dalam kenyataan hari ini, katanya pertumbuhan berkenaan disumbangkan oleh prestasi kukuh berterusan Sunway Carnival Mall, suku pertama 2024 yang mantap berikutan musim perayaan serta prestasi sektor makanan dan minuman yang berdaya tahan.

Menurutnya kumpulan pusat beli-belah itu mencatat pertumbuhan kukuh 11 peratus pada suku pertama 2024 sebelum merekodkan pertumbuhan marginal dua peratus pada suku kedua 2024 dan tidak berubah pada suku ketiga 2024 berikutan perbelanjaan bagi Hari Raya yang kurang memberangsangkan dan pasaran yang perlahan.

“Bagaimanapun, Sunway Malls menjangka suku keempat yang bertenaga tahun ini berikutan perayaan pada akhir tahun.

"Pembukaan presint baharu di Sunway Pyramid, iaitu Oasis di lokasi menempatkan AEON sebelum ini pada 1 November, yang tepat pada masanya dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan meskipun sentimen pengguna yang berhati-hati terhadap peningkatan kos sara hidup," katanya.

Menurut syarikat, berteraskan prestasi kukuh Sunway Carnival yang berterusan, kumpulan pusat beli-belah itu yakin dapat mencapai pertumbuhan tahun penuh. 

“Inisiatif penambahan aset kumpulan yang bernilai RM550 juta di Sunway Pyramid dan Sunway Carnival telah meraih 100 peratus kadar penghunian setakat ini melibatkan kombinasi 800,000 kaki persegi keluasan boleh sewa bersih.

"Kedua-dua pusat beli-belah itu adalah pusat beli-belah yang telah lama ditubuhkan kumpulan berkenaan -- Sunway Pyramid dibuka pada 1997 manakala Sunway Carnival pada 2007," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata, walaupun selepas 27 tahun, Sunway Pyramid terus menyaksikan permintaan yang baik bagi ruang runcitnya, dengan pembukaan 115 kedai di Oasis, merangkumi lebih 300,000 kaki persegi keluasan boleh sewa bersih.

"Ruang yang telah diubah suai ini dijangka memberikan sumbangan ketara kepada pendapatan keseluruhan, hasil dan kedudukan Sunway Malls," katanya.

Dengan pembukaan Oasis, Sunway Pyramid dilihat sebagai pusat beli-belah yang mempunyai jumlah kedai terbesar di Malaysia sebanyak 800 kedai dan dengan tawaran yang tersendiri dalam kategorinya.

Pada masa ini Sunway Malls mengendalikan sembilan pusat beli-belah termasuk Sunway 163 Mall dan Kluang Mall.

Kumpulan itu mempunyai 12 pusat beli-belah melibatkan 7.7 juta kaki persegi keluasan boleh sewa bersih, termasuk projek yang sedang dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan