WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Terajui Teknologi Baharu Untuk Kekal Bersaing Di Peringkat Global - Fadillah

07/11/2024 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Teknologi baharu muncul seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin serta automasi semakin pesat membentuk semula tenaga kerja global dan dalam landskap ini, keupayaan Malaysia mendahului trend itu menjadi kunci untuk kekal bersaing di persada dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata untuk berjaya, negara bukan hanya perlu menyesuaikan diri tetapi juga menjadi peneraju dalam kesemua bidang ini dengan memupuk tenaga kerja yang mahir dalam teknologi yang akan menentukan ekonomi masa depan Malaysia.

“Semasa kita melakukan persediaan untuk masa depan, kita perlu memupuk pemikiran dalam kalangan tenaga kerja kita yang merangkumi prinsip-prinsip belajar, tidak belajar dan belajar semula.

“Ini adalah kunci ke arah keteguhan dalam persekitaran yang sentiasa berkembang di mana peningkatan kemahiran dan pemahiran semula perlu kekal mendahului usaha kita,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2024 di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus. 

Fadillah berkata dalam hal ini, beliau teruja apabila pelbagai organisasi telah bangkit menyahut cabaran ini dengan melabur dalam pembangunan pekerja mereka dan sebagai pulangannya, mengukuhkan daya saing ekonomi Malaysia serta kedudukan negara di mata dunia.

Justeru itu, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia, menerusi HRD Corp, telah memainkan peranan penting dalam memudahkan transformasi ini dan berbangga dengan inisiatif yang dilancarkan pada 2024 yang terus menyokong industri dalam meningkatkan usaha pembangunan modal insan mereka.

Menyentuh mengenai anugerah pada malam ini, Fadillah berkata ia memberi peluang untuk mengiktiraf organisasi yang telah menerajui inovasi sumber manusia

Beliau berkata kesemua syarikat bukan sahaja meningkatkan keupayaan tenaga kerja mereka namun menetapkan standard baharu bagi pembangunan bakat dan ini sekali gus menunjukkan kepimpinan Malaysia dalam rantau ASEAN. 

Sebanyak 36 anugerah yang meraikan kecemerlangan merentasi pelbagai kategori termasuk Anugerah Menteri Sumber Manusia yang berprestij, Anugerah HRD Corp, Anugerah Kecemerlangan dan paling istimewa, Anugerah Pengiktirafan dalam Pembelajaran dan Pembangunan telah disampaikan bagi dedikasi, inovasi dan impak dengan setiap penerima mewakili landskap sumber manusia Malaysia pada masa akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan