WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TDM, TNI–AD Lancar Op PATKOR Di Sempadan Malaysia–Indonesia

09/11/2024 09:52 PM

LIMBANG, 9 Nov (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Nasional Indonesia –Angkatan Darat (TNI–AD) hari ini melancarkan operasi bersama bagi menjaga keselamatan dan keamanan sempadan kedua-dua negara di kawasan Ba'kelalan dekat sini menerusi Patroli Terkoordinasi (PATKOR) Siri 2/2024.

Dalam satu kenyataan, Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) memaklumkan upacara perbarisan pembukaan operasi berkenaan berlangsung di Pos Gabungan Bersama (GABMA) Long Midang, Indonesia, yang disempurnakan oleh Kepala Staf Korem (Kasrem) 092/Maharajalila Kol Infantri Darwis Efendi serta Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan (10 RS) Lt Kol Ismanizam Ismail.

Turut hadir menyaksikan perbarisan itu ialah Panglima 9 Briged Brig Jen Ahmad Norzaini Badrun.

Operasi PATKOR Siri 2/2024 yang melibatkan TDM diwakili oleh 10 RS manakala TNI–AD diwakili oleh Batalion Zeni Tempur 8/Sakti Mandraguna (Yonzipur 8/SMG) yang akan berlangsung selama enam hari bermula 9 hingga 14 Nov ini.

Operasi ini merupakan satu daripada usaha di bawah kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia dikenali sebagai MALINDO yang dianjurkan oleh agensi Tim Perancang Operasi Darat (TPOD) dan Coordinated Operation Control Committee (COCC).

Kenyataan itu menyebut anggota 10 RS dan Yonzipur 8/SMG yang terdiri daripada dua pegawai dan 32 anggota lain-lain pangkat akan melaksanakan rondaan bersama merangkumi 40 unit Batu Sempadan di sepanjang sempadan Malaysia–Indonesia bertujuan membanteras aktiviti lintas batas yang berpotensi mengancam keselamatan dan kedaulatan kedua-dua negara.

"Operasi ini juga bertujuan meningkatkan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Indonesia dalam aspek keselamatan dan pertahanan," menurut kenyataan itu.

Aktiviti dua hala ini juga sejajar dengan Teras Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 yang bertujuan memperkukuh lagi hubungan diplomasi pertahanan antara TDM dengan TNI–AD.

“Pelaksanaan operasi tahunan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara serta meningkatkan kesiapsiagaan pasukan di sempadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan