WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Abang Johari Umum Inisiatif SKAS Untuk Rakyat Sarawak, Wang Saku Pelajar

11/11/2024 03:50 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), satu inisiatif baharu bantuan kewangan bertujuan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, beliau berkata bantuan berkenaan adalah antara RM250 hingga RM800 setahun, bergantung kepada kelayakan penerima.

“Penerima yang layak ialah rakyat Sarawak yang tinggal di Sarawak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM800.

“Sementara itu, warga emas tanpa pasangan dan anak berpendapatan RM5,000 dan ke bawah akan menerima bantuan RM400, serta orang bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM250,” katanya, sambil menambah bantuan berkenaan akan membantu mereka membeli barangan keperluan asas.

Abang Johari berkata bagi tujuan berkenaan, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM450 juta tahun depan yang memberi manfaat tidak kurang daripada 850,000 penerima. Kebanyakan penerima SKAS juga akan menerima sumbangan kewangan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Sementara itu, Abang Johari turut memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama berkaitan bebanan kos pendidikan anak-anak mereka di bawah belanjawan negeri tahun depan.

Beliau berkata pelajar pengajian tinggi Sarawak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah akan menerima bantuan kewangan yang hanya diberikan sekali dalam bentuk wang saku bernilai RM1,200.

“Bantuan kewangan itu akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar Sarawak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan purata isi rumah RM1,500 atau kurang sebulan.

“Wang yang diberikan akan dibelanjakan bagi membeli makanan dan barangan keperluan untuk membantu mereka mengurangkan kos sara hidup. Di bawah belanjawan ini, RM30 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan terus menyediakan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 30 peratus bagi graduan yang telah membayar balik 30 peratus atau lebih untuk pinjaman mereka.

“Bagi tahun 2024, terdapat 5,419 peminjam yang layak dengan jumlah bantuan kewangan RM26.15 juta. Pada 2025, peruntukan sebanyak RM15 juta akan disediakan bagi tujuan yang sama,” katanya.

Beliau berkata baucar buku bernilai RM500 dan inisiatif komputer riba percuma untuk pelajar universiti daripada kumpulan B40 juga akan diteruskan tahun depan, dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM2 juta dan RM30.5 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan