WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penolong Pegawai Veterinar Terengganu Didenda RM5,000 Kemuka Dokumen Palsu

11/11/2024 05:05 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Nov (Bernama) -- Seorang penolong pegawai veterinar di Jabatan Veterinar Terengganu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu melibatkan kerja-kerja selenggara dan alat ganti kenderaan. 

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Hisham Daud, 46, mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya secara berasingan.

Tertuduh didakwa meluluskan dokumen inden kerja atau pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada Syarikat Serangkai Automobiles Sdn Bhd masing-masing bernilai RM1,615.20; RM1,574.09; RM3,808.10; dan RM1,581.30, yang tidak dilaksanakan syarikat terbabit.

Kesemua kesalahan yang dilakukan antara Mac 2019 hingga Jun 2020 itu didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pilihan kedua manakala denda RM3,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pilihan ketiga.

Untuk pertuduhan pilihan pertama dan keempat yang dihadapinya pula, ia dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. 

Peguam Mohamad Afiq Farhan Mohd Hanipha merayu hukuman berbentuk denda dikenakan terhadap bapa kepada empat anak itu memandangkan kesemua anak-anaknya masih bersekolah dan dia merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.

Selain itu, Mohamad Afiq berkata Mohd Hisham yang bertugas di Besut menunjukkan keinsafan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak peringkat awal kes terbabit.

Beliau berkata meskipun berdepan risiko kehilangan kerja dan pendapatan untuk menyara keluarga serta kehilangan faedah sebagai penjawat awam, anak guamnya tetap ingin mengakui kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar menegaskan bahawa hukuman setimpal wajar dikenakan Mohd Hisham sebagai pengajaran kepadanya dan supaya masyarakat mengambil iktibar untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Azhar berkata jika kesalahan seumpama itu tidak dibendung, ia boleh meruntuhkan kewangan kerajaan dan semoga hukuman yang dikenakan itu memberi pengajaran kepada Mohd Hisham. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan