WILAYAH - SELATAN > BERITA

Lelaki Singapura, Palestin Antara 85 Pendatang Asing Ditahan Imigresen

11/11/2024 06:06 PM

JOHOR BAHRU, 11 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki Palestin antara 85 pendatang asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini serta Muar pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Pengarah Imigresen negeri Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata serbuan pertama menyasarkan lapan premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen di Taman Abad, di sini, kira-kira 8.10 malam pada Jumaat.

Beliau berkata sebanyak 23 pendatang asing terdiri daripada tujuh lelaki Pakistan, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia, tiga lelaki India, empat lelaki Bangladesh, seorang lelaki Myanmar serta warga Singapura dan Palestin yang masing-masing bekerja di kedai menjual makanan itu ditahan selepas disyaki bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah. 

“Kesemuanya yang berusia antara 20 hingga 53 tahun kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 16 pendatang asing terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita Bangladesh, 10 lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang wanita Indonesia berusia 23 hingga 50 tahun pula ditahan hasil serbuan di 10 premis antaranya kedai runcit di Muar, pada hari sama.

“Serbuan sekitar 9 pagi hingga 9 malam itu dilancarkan susulan aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit sah dan tinggal lebih masa.

“Siasatan awal mendapati mereka memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menyalahgunakan pas itu untuk bekerja di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mohd Rusdi berkata serbuan ketiga di dua pub dan bistro di Taman Mount Austin, di sini, pada Sabtu pula melibatkan penahanan 43 pendatang asing terdiri daripada dua lelaki dan 36 wanita Thailand, tiga lelaki Myanmar, seorang lelaki Vietnam serta seorang lelaki Laos berusia antara 21 hingga 47 tahun. 

Beliau berkata turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 52 tahun yang merupakan pemilik dan penjaga premis.

“Operasi kira-kira 1.30 pagi dijalankan selepas premis itu dipercayai menggaji pekerja tanpa pas atau permit yang sah selain menjalankan aktiviti tidak bermoral. 

“Hasil siasatan awal mendapati premis tersebut menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan menawarkan pakej bawa pulang GRO serendah RM800 semalam.

“GRO warga asing ini juga dipercayai menggunakan nama samaran untuk mengaburi mata penguat kuasa namun taktik mereka berjaya dikesan dengan pelbagai bukti dijumpai di premis itu,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan awal turut mendapati pendatang asing berkenaan menyalah gunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan