WILAYAH - SABAH > BERITA

APMM Tahan Bot Pam Disyaki Cuba Seludup Keluar 5,000 Liter Minyak Petrol

11/11/2024 11:42 PM

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran selepas menahan sebuah bot pam membawa muatan bahan api itu di kedudukan kira-kira 0.01 batu nautika timur Karamunting, Pitas, Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata bot itu ditahan pada 11.50 malam selepas anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi rondaan di perairan itu membuat pemeriksaan lanjut dan menemukan 25 tong berwarna biru berisi 5,000 liter minyak petrol dibawa oleh bot terbabit tanpa sebarang permit sah.

Beliau berkata dua individu di dalam bot berkenaan merupakan seorang warga tempatan berusia lingkungan 35 tahun manakala seorang lagi warga Filipina berumur lingkungan 30 tahun dan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah.

"Bertindak atas maklumat risikan, aset ronda Zon Maritim Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera/Op Pluto Timur 2/2013 / Op Cegah PATI 1/2022 dan Op Tiris 3.0 segera diatur gerak ke lokasi bagi mengesan aktiviti penyeludupan minyak berkenaan. 

"Setibanya di lokasi, penguat kuasa APMM telah mengesan dua bot pam sedang bergerak dalam gelap disyaki bot suspek. Semasa cuba menghampiri, bot suspek bertindak memecut laju menuju kawasan cetek untuk meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maurice berkata usaha mengesan bot diteruskan di kawasan cetek lalu menemukan bot terbabit bersama kedua-dua suspek yang sedang menyembunyikan diri.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM10,000, manakala suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan