WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPT Bakal Bincang Dengan Mindef Bagi Tangani Salah Laku Di UPNM

12/11/2024 09:55 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama)  -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF)  termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli dengan lebih cekap di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa langkah  itu juga bertujuan untuk memastikan keselamatan pelajar di kampus tersebut terjamin dan agar insiden serupa tidak berulang.

“Kejadian salah laku buli ini sedikit sebanyak memberi imej negatif kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang sepatutnya menjadi institusi untuk pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu mempunyai tahap pemikiran dan keperibadian yang seimbang dan baik.

“Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut dalam masa yang sama, KPT turut berharap agar warga IPT sendiri menjadi ‘mata dan telinga’ dengan berani tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku sebegini.

“KPT ingin memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dalam isu buli sebegini. Kementerian tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan, UPNM merupakan salah satu daripada 20 Universiti Awam di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan.

Pelajar UPNM tergolong dalam dua kategori iaitu Pelajar Awam sebanyak 80 peratus dan Pegawai Kadet sebanyak 20 peratus.

Dalam hal ini, pengurusan kedua-dua kategori pelajar itu terbahagi antara pihak UPNM di bawah KPT dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di bawah Kementerian Pertahanan.

 “UPNM di bawah KPT bertanggungjawab ke atas urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP), kuliah, serta aktiviti atau kegiatan pelajar dari jam 8 pagi hingga 5 petang manakala tanggungjawab ALK meliputi perkara disiplin ketenteraan, aktiviti di luar bidang akademik dan latihan ketenteraan bermula jam 5 petang hingga ke atas, termasuk hujung minggu atau hari pelepasan am."

“Dalam hal ini, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti dan program yang diatur untuk pelajar UPNM dalam kedua-dua kategori pelajar,” katanya.

Mengenai kes buli di ALK, UPNM, melibatkan seorang penuntut tahun satu yang disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh penuntut senior dalam kejadian pada 21 Okt lepas, KPT berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, menurut KPT, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan