WILAYAH - TIMUR > BERITA

Orang Asli Pos Gob Mohon Jambatan Gantung Dibina, Demi Keselamatan Seberangi Sungai

14/11/2024 04:57 PM

GUA MUSANG, 14 Nov (Bernama) -- Lebih 200 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari tiga perkampungan di Pos Gob memohon kerajaan membina sebuah jambatan gantung bagi membolehkan mereka menyeberangi sungai Sungai Puian di kawasan itu untuk aktiviti harian dengan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob Adi Liman berkata setiap hari pergerakan melintas jalan sungai itu sudah menjadi rutin penduduk kampung terlibat termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak. 

"Penduduk di Kampung Tembaga, Kampung Lengrang dan Kampung Bercak berulang-alik melintas Sungai Puian untuk ke Kampung Gob yang menjadi laluan utama untuk keluar ke bandar dengan jarak hampir 100 kilometer dari penempatan.

“Paras Sungai Puian akan meningkat dengan cepat ketika cuaca hujan, jadi penduduk akan berenang meredah arus sejauh lebih tiga meter untuk sampai ke tebing Kampung Gob," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata penduduk terpaksa membawa motosikal dengan rakit buluh untuk melintas sungai disebabkan ketiadaan laluan bagi dilalui kenderaan, dan pembinaan jambatan gantung pasti boleh menyelesaikan pelbagai masalah.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor ketika ditemui mengesahkan pembinaan jambatan berkenaan memang sedang dirancang pihaknya, malah beliau sendiri telah turun padang dan melihat sendiri kehidupan penduduk di penempatan terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan