WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pembinaan Loji WTE Penyelesaian Selamat Isu Kekurangan Tapak Pelupusan - KPKT

14/11/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) adalah penyelesaian selamat untuk mengatasi isu kekurangan tapak pelupusan sanitari dan peningkatan penjanaan sisa yang semakin ketara setiap tahun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pada tahun lepas, jumlah pengeluaran sisa pepejal negara mencapai 14.2 juta tan dan kerajaan perlu penyelesaian baharu terhadap isu tapak pelupusan sisa yang memerlukan kawasan yang luas.

Justeru, dalam konteks pembinaan loji itu, beliau menegaskan ia tidak membahayakan kesihatan kerana akan dibangunkan mengikut spesifikasi ketat, selaras dengan prinsip ‘hasil buangan sifar’ dan ‘toksin sifar’ yang menyokong transformasi ke arah ekonomi kitaran.

Selain itu, pelaksanaannya juga berkonsepkan loji dalam taman seperti mana yang diterapkan di negara-negara maju.

“Teknologi ini tidak memerlukan keluasan tanah yang besar dan tidak menghasilkan air larut resap, bau busuk atau gas metana yang memberi impak negatif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memandangkan teknologi WTE mampu menghasilkan satu mega watt (MW) tenaga elektrik daripada 60 tan sisa pepejal yang dirawat hingga mencukupi untuk kegunaan 2,000 buah rumah, beliau berkata tenaga boleh baharu yang dijana loji itu juga boleh dieksport ke grid nasional bagi menggantikan penggunaan tenaga elektrik dari bahan api fosil.

Nga juga berkata loji WTE turut menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui di negara ini dan berpotensi membantu Malaysia mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

Ini sekali gus akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ untuk perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat, tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan usaha untuk mentransformasikan tapak pelupusan sisa kepada taman rekreasi bagi memastikan tanah yang digunakan untuk pelupusan sisa dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, KPKT akan memperuntukkan RM300 juta untuk menutup tapak pelupusan lama dan melaksanakan pelan transformasi berkenaan dalam Belanjawan 2025.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan