WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelibat Eljoe Dalam Radar Shahrul

15/11/2024 08:15 AM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bakat serta lompatan dimiliki Eljoe Gotouh yang merangkul emas lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak baru-baru ini, memikat hati ketua jurulatih lompat jauh para negara, Shahrul Amri Suhaimi.

Shahrul Amri berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara untuk menyerap atlet dari Sabah itu ke dalam kem olahraga para kebangsaan tahun depan.

“Diharapkan tahun depan Eljoe dapat masuk ke sini (kem olahraga para) sebab keputusan terbaik beliau pun okey iaitu 7.02 meter (m).

“Kami akan cuba gilap beliau untuk menjadi pesaing rapat atau Datuk Abdul Latif Romly yang seterusnya, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas sesi pascanilai Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 di sini semalam.

Beliau berkata antara strategi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi Eljoe ialah memantapkan jarak lompatan sekurang-kurangnya 0.30 hingga 0.40m daripada catatan peribadi terbaiknya ketika ini.

Sekiranya atlet berkenaan berjaya melakukan jarak sedemikian, tidak mustahil beliau mampu beraksi pada Sukan Para Asia 2026 di Jepun mahupun Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

“Jika boleh kita mahu sasarkan dua wakil negara dalam acara lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Paralimpik 2028,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan