JOHOR BAHRU, 15 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedia menawarkan kursus jangka pendek kecerdasan buatan (AI) untuk golongan dewasa dan mereka yang bekerja sekiranya mendapat permintaan.
Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata pengambilan pertama pada 29 Sept lepas melibatkan 126 pelajar sepenuh masa Fakulti AI (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian di Kampus UTM Kuala Lumpur.
“Ya, kami ada (rancangan kursus jangka pendek). Setakat ini kami ada 126 pelajar kumpulan pertama sepenuh masa untuk FAI. Sebenarnya kami ada lebih 100 orang pakar dan AI ini multidisiplin, kami sediakan program bagi golongan dewasa dan bekerja, mereka sangat dialu-alukan.
“Jadi untuk kursus jangka pendek kami tidak kisah, lebih ramai lagi kami suka dan ia berdasarkan permintaan. Kemungkinan boleh dibuka di Kampus Kuala Lumpur atau Johor,” katanya pada sidang media di UTM di sini semalam.
Beliau berkata permohonan keseluruhan bagi FAI adalah berjumlah 40,000, namun hanya 452 pemohon yang menjadikan fakulti berkenaan sebagai pilihan pertama dan kedua dalam sistem UPU.
Penubuhan FAI diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2024 lepas, dan pihak UTM berjaya menubuhkan FAI dalam tempoh empat bulan hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial