WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Premis Tentukan Daftar Masuk Dan Keluar Hotel, Pilihan Di Tangan Pengguna

16/11/2024 11:42 AM

GERIK, 16 Nov (Bernama) -- Urusan daftar masuk dan keluar hotel serta rumah tumpangan di Perak ditentukan oleh premis itu sendiri dan kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang dasar atau polisi berkaitan isu berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagaimanapun sebarang implikasi berhubung ketetapan yang dibuat perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik premis.

“Mengikut kebiasaan daftar masuk ialah 2 petang dan keluar 12 tengah hari. Jadi sekarang ada yang pemilik buat masuk 4 petang dan keluar 11 pagi. 

“Kita nak beritahu ketetapan ini dibuat pemilik sendiri dan pengunjung akan buat pilihan sendiri mana yang dirasakan lebih berbaloi. Jadi, keuntungan atau kerugian itu berbalik kepada pemilik premis itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan di Daerah Lenggong di Resort Tasik Raban di sini semalam.

Pada 23 Okt lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan perkara berkaitan rumah tumpangan dan pemalaman, termasuk kawal selia tatacara operasi premis berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tiong memaklumkan pihaknya juga akan berbincang dengan kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kewajaran memasukkan peruntukan mengenai pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel ke dalam Akta 482.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata kerajaan negeri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kartunis terkenal Datuk Lat yang menerima Anugerah Seniman Negara kesembilan pada Majlis Anugerah Seri Negara (ASN) 2024 semalam.

Beliau berkata anugerah berkenaan bukan hanya membanggakan negeri Perak malah membuktikan ketokohan yang dimiliki Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid.

Semalam, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada anak jati kelahiran Gopeng itu yang turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM60,000, watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan