WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Di Landasan Tepat Jadi Hab Perniagaan Bagi Pihak Berkepentingan Perancis Di ASEAN

16/11/2024 09:11 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Lokasi Malaysia yang strategik, ditambah dengan dasar yang berpandangan ke hadapan dan progresif, menjadikannya hab yang ideal untuk perniagaan dan kerjasama, terutamanya bagi pihak berkepentingan Perancis yang bertujuan menerokai pasaran ASEAN.

Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata kedudukannya di tengah-tengah Asia Tenggara dengan ekonomi yang kukuh dan pelbagai, menawarkan akses yang tiada tandingan kepada blok ASEAN yang semakin berkembang pesat.

"Terdapat keperluan untuk melibatkan diri dengan lebih mendalam bersama rakan sejawat Perancis kita bagi meningkatkan pemahaman tentang rantau Asia Tenggara melalui blok ASEAN."

“Memandangkan Malaysia bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kami (kedutaan) komited untuk memperjuangkan wawasan ini,” katanya kepada Bernama sempena acara jaringan perniagaan yang diadakan di Paris, Perancis untuk meraikan warisan dan prospek Malaysia di negara itu.

Berpandukan kepada konsep MADANI, Eldeen berkata kedutaan komited untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan yang memastikan tiada siapa yang ketinggalan.

Beliau berkata acara kemuncak itu ialah pelancaran Kelab Perniagaan Malaysia, satu inisiatif yang bertujuan memupuk hubungan perniagaan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Perancis.

“Inisiatif ini menyediakan platform khusus untuk perniagaan Malaysia dan Perancis saling berhubung, meneroka peluang dan memupuk kerjasama merentas sektor.

"Sebagai langkah permulaan kepada persatuan rasmi di masa hadapan, kelab ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala," kata Eldeen.

Di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan", beliau menegaskan acara itu menjadi permulaan kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 dan menekankan peranan penting Malaysia dalam mempromosikan wawasan kolektif ASEAN, di samping pada masa yang mengukuhkan hubungan dua hala dengan Perancis.

Eldeen menambah acara tersebut diadakan semalam dengan kerjasama Mairie du XVI (Majlis Perbandaran Arrondissement ke-16) dan dihadiri kira-kira 200 tetamu, termasuk Datuk Bandar Jeremy Redler, ahli-ahli parlimen, pegawai-pegawai dari Dewan Negara dan Kementerian Luar Negeri Perancis (MFA), pemimpin-pemimpin perniagaan Perancis, pengamal budaya, dan pegawai kerajaan yang lain.

Pada 12 Sept, Bernama melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Paris merancang menubuhkan persatuan perniagaan menjelang akhir tahun ini untuk usahawan Malaysia di Perancis membina hubungan perniagaan dan membuka jalan kepada peluang baharu dengan salah satu ekonomi terbesar di Eropah.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan