WILAYAH - TENGAH > BERITA

Penyertaan Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025 Dibuka Bermula Esok

17/11/2024 06:10 PM

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Penyertaan untuk Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2025, yang diadakan khusus bagi mengiktiraf amalan terbaik industri tenaga lestari tempatan dalam mengaplikasi teknologi tenaga boleh baharu (TBB) dan penerapan amalan kecekapan tenaga, dibuka bermula esok hingga 19 Feb depan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini mempelawa pemain industri serta entiti berkelayakan untuk menyertai NEA edisi kelima anjuran PETRA dan Malaysia Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) selaku Sekretariat NEA.

Pemain industri dan entiti berkelayakan yang telah melaksanakan dan mengaplikasi teknologi TBB atau amalan kecekapan tenaga, adalah dijemput untuk mengemukakan penyertaan untuk NEA 2025 berdasarkan empat kategori khusus.

Kategori tersebut adalah Pengurusan Tenaga; Bangunan Cekap Tenaga; Tenaga Boleh Baharu; dan Anugerah Khas.

“PETRA yakin NEA akan menyediakan peluang dan platform terbaik untuk perkongsian amalan dan pelaksanaan terbaik dalam bidang TBB dan kecekapan tenaga.

“Ia juga membuktikan keupayaan industri tempatan untuk menampilkan idea dan penyelesaian inovatif dalam mengoptimumkan pembekalan serta menggalakkan penggunaan tenaga lestari,” menurut kenyataan itu.

PETRA berkata sejak diperkenalkan pada 2018, NEA telah berjaya menarik penyertaan 1,147 pemain industri dan entiti yang berkelayakan dengan 169 pemenang NEA telah dipilih untuk mewakili negara di dalam ASEAN Energy Awards (AEA).

Bersempena kepengerusian Malaysia untuk ASEAN, PETRA berhasrat untuk meneruskan keunggulan wakil negara di dalam Majlis Penyampaian Anugerah AEA Tahun 2025 yang akan diadakan di Kuala Lumpur. 

Maklumat lanjut mengenai NEA 2025 boleh dilayari di laman sesawang https://www.nationalenergyawards.com.my 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan