WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemandu Wanita Rempuh Pelajar UiTM Dungun Masih Di Hospital Permai

17/11/2024 02:53 PM

DUNGUN, 17 Nov (Bernama) -- Mahkamah Majistret Dungun hari ini diberitahu suri rumah yang didakwa kerana melanggar tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun sehingga maut Oktober lepas, masih berada di Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemerhatian kesihatan mentalnya. 

Dalam prosiding sebutan semula kes hari ini, Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah yang mengendalikan kes berkenaan memberitahu mahkamah bahawa laporan penuh berhubung tahap kesihatan mental Norizan Ismail, 49, masih belum diperoleh.

“Tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod menjalani rawatan psikiatri, jadi pihak hospital memohon perintah penahanan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan,” katanya.

Peguam yang mewakili wanita berkenaan Norhabibah Norulalzahar daripada tetuan Ghazali Ismail & Co mengesahkan perkara itu.

Selepas mendengar pemakluman berkenaan Majistret Nur Amirah Fatihah Osman membenarkan tempoh penahanan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan selama sebulan dan menetapkan 17 Dis ini sebagai sebutan semula kes.

Norizan sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Pada 15 Okt lepas Nur Amirah Fatihah memutuskan supaya Norizan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan dan hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 9 Okt lepas, Norizan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan telah merempuh empat pelajar UiTM sehingga tiga daripada mereka meninggal dunia manakala seorang lagi Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera.

Norizan sebelum ini turut dituduh di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish dan esok ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

 -- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan