WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PH Negeri Sembilan Tekad Rampas Semula DUN Paroi Pada PRU16

17/11/2024 03:22 PM

SEREMBAN, 17 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bertekad untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi yang kini disandang oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau akan memberikan komitmen tinggi untuk memastikan parti itu terutamanya Parti Amanah Negara (AMANAH) bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN Klawang tetapi juga berusaha merampas semula kerusi DUN Paroi.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru setiap jentera parti bergerak turun padang bermula dari sekarang bagi membantu kemenangan AMANAH di kedua-dua kerusi DUN berkenaan pada PRU16.

“Itu janji saya. Saya akan minta semua jentera, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergerak bantu, itu saya akan lakukan.

“Pelbagai program untuk dekati rakyat juga perlu sentiasa diadakan, terutama di kawasan Labu dan Paroi, kita pastikan mana tempat yang kita (AMANAH) kalah tempoh hari kita dapat ambil semula, Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Negeri Sembilan yang dirasmikan Naib Presiden AMANAH Adly Zahari di sini hari ini.

Kerusi DUN Paroi dan Klawang sebelum ini disandang oleh AMANAH, namun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya kerusi DUN Klawang berjaya dipertahankan parti itu manakala DUN Paroi dimenangi PN.

Sementara itu, Adly optimis Pemuda AMANAH mampu memastikan parti itu kekal relevan, sekali gus memacu kebangkitan pada masa akan datang, selain menasihati mereka mempertingkatkan pelbagai program bagi mendekati golongan muda.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan