WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah, Sarawak Rekod Prestasi Belanja Projek Rendah

18/11/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Sabah dan Sarawak merekodkan prestasi perbelanjaan projek yang rendah berbanding peruntukan asal masing-masing RM6.67 bilion dan RM5.81 bilion yang diterima di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) setakat Oktober lepas. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Sabah mencatatkan prestasi belanja 46.7 peratus, manakala Sarawak pula 54.43 peratus.

“Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah projek tertinggi iaitu masing-masing 1,244 projek dan 1,124 projek berbanding Perlis yang hanya mempunyai 172 projek,” katanya ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Isnaraissah Munirah ingin tahu jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan berserta peratusan dan jumlah projek 2024 setiap negeri dan Wilayah Persekutuan serta jumlah prestasi belanja berbanding peruntukan asal setakat Oktober 2024 dan penambahbaikan prosedur pelaksanaan projek di kedua-dua negeri itu. 

Dr Zaliha berkata antara langkah lain yang telah diambil bagi menambah baik prosedur pelaksanaan program atau projek pembangunan di Sabah dan Sarawak adalah melalui pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran di kedua-dua negeri itu sebagai Jabatan Teknik.

Hal ini, katanya bagi melaksanakan semua projek yang bernilai RM50 juta ke bawah di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 182 yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 2023.

Dr Zaliha berkata negeri di Semenanjung Malaysia yang mencatatkan prestasi belanja terendah ialah Kedah pada kadar 53.43 peratus. 

“Pahang mencatatkan prestasi belanja tertinggi iaitu 74.65 peratus, diikuti Melaka kedua tertinggi iaitu 74.27 peratus, walaupun jumlah peruntukannya adalah paling rendah iaitu RM927 juta, manakala Terengganu di tempat ketiga dengan prestasi 72.39 peratus,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM90 bilion di bawah RP4 RMK12, Wilayah Persekutuan menerima peruntukan sebanyak RM23.61 bilion, iaitu kedua tertinggi selepas kategori ‘Pelbagai Negeri’ dengan RM30.21 bilion.

Kategori ‘Pelbagai Negeri’ adalah kategori projek pembangunan yang melibatkan dua negeri atau lebih seperti projek jajaran lebuh raya dan projek pemindahan air merentas negeri, katanya. 

Dr Zaliha berkata dalam hal ini, perbelanjaan Wilayah Persekutuan adalah RM16.39 bilion dengan prestasi belanja sebanyak 69.40 peratus, berada di atas prestasi keseluruhan sebanyak 65.83 peratus. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan