WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOSTI Pelbagaikan Program STI, Persiap Tenaga Kerja Mahir - Chang

18/11/2024 03:25 PM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menggandakan usaha untuk mempelbagaikan program pembudayaan bidang Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) sebagai usaha menarik lebih ramai pelajar memilih aliran sains dalam pendidikan tinggi. 

Menterinya Chang Lih Kang berkata usaha itu juga seiring dengan agenda kerajaan dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran.

"Sekarang kerajaan memang mengutamakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tumpuan pada TVET kemahiran tinggi, jadi (pelajar) perlu mempunyai pengetahuan asas STI.

"Hal ini juga selaras dengan agenda kerajaan iaitu kita (Malaysia) banyak menarik pelabur dalam bidang teknologi.

“Jadi ia bukan lagi industri intensif buruh, bukan lagi pelaburan intensif buruh, sebaliknya semua pelaburan ini adalah bernilai tinggi. Kita perlu sediakan bakat mencukupi untuk industri ini (STI dan TVET) supaya kita tidak lagi perlu bergantung kepada tenaga kerja luar," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Dan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan di sini hari ini.

Tahun ini merupakan penganjuran MSN kali ketujuh sejak dilancarkan pada 2018 dan pada masa sama MOSTI turut meneruskan program Malaysia Techlympics sebagai inisiatif memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang menyeronokkan.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Chang berkata pelaksanakan MSN secara dalam talian telah bermula sejak April lepas dan berakhir pada penghujung Oktober dengan secara keseluruhannya, penganjuran MSN 2024 telah mencatatkan hampir 2.4 juta penglibatan seluruh negara.

"Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia Techlympics 2024 telah merekodkan sebanyak 652,613 penyertaan dari seluruh negara.

"Sebagai satu daripada komitmen dan inisiatif MOSTI dalam memastikan inklusiviti dan memastikan tiada golongan yang dipinggirkan, MOSTI di bawah inisiatif Program Keterangkuman Malaysia Techlympics 2024 telah melaksanakan program jangkauan keterangkuman yang melibatkan pelbagai lokasi dan menyasarkan penyertaan murid luar bandar," kata Chang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan