WILAYAH - SARAWAK > BERITA

COP29: Berkelana Lebih 6,000 Km, Pesawah Azam Kongsi Ilmu Kelestarian Pertanian 

20/11/2024 02:04 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 20 Nov (Bernama) -- Dua pesawah dari Pendang, Kedah tidak mahu mensia-siakan ‘pengembaraan’ mereka lebih 6,000 kilometer dari Malaysia ke Azerbaijan, untuk membawa pulang dan berkongsi ilmu kelestarian dalam pertanian agar pesawah lebih peka tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam.

Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60, merupakan antara yang mendapat kebenaran khas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyertai Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) dan perjalanan mereka ditaja sepenuhya oleh syarikat bioteknologi, Free The Seed Sdn Bhd.

Abdullah berkata dengan tajaan Free The Seed, beliau dan rakannya bukan sahaja dapat melihat budaya orang lain malah mempelajari amalan terbaik untuk melestarikan dunia dalam keadaan hijau yang memerlukan komitmen tinggi dari seluruh dunia.

"Kerajaan (Malaysia) juga banyak membantu dari segi kelestarian iklim dunia dan sebagai anak Malaysia amat bangga kerana kerajaan bersama warga dunia besar lain melestarikan bumi hijau. Ini penting kerana maklumat diperoleh (dari COP29) semakin hari semakin teruk (perubahan iklim)," katanya kepada Bernama ketika ditemui di COP29, di sini hari ini.

Abdullah berkata kebanyakan pesawah akan membakar jerami selepas musim menuai padi, kerana dianggap sisa pertanian tidak bernilai dan pembakaran itu menyebabkan pelepasan karbon selain turut mencemarkan alam sekitar.

"Jadi kita jual jerami kepada Free The Seed untuk dihasilkan produk pembungkusan biodegradasi. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon tetapi pesawah mendapat duit tambahan daripada jualan jerami pada harga kira-kira RM400 bagi satu tan.

"Kalau pinggan pakai buang polisterin memerlukan 400 hingga 500 tahun untuk terurai, plastik dalam 50 tahun tetapi kalau biodegarasi dari jerami enam bulan akan terurai dan jadi baja balik untuk pertumbuhan pokok seterusnya," katanya.

Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan berkata beliau akan membawa segala ilmu dari COP29 iaitu persidangan tahunan global yang membahas perubahan iklim untuk berkongsi dengan masyarakat dan anggota PKK.

"Saya akan berkongsi ilmu dan terangkan kepada masyarakat, unit peladang dan anggota PKK pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar di dunia dan sepanjang hidup kita yang bukan sahaja penting untuk kita tetapi masa depan cucu-cucu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Free The Seed P Ramaness berkata Free The Seed merupakan syarikat pertama yang membawa pesawah ke persidangan antarabangsa dan inisiatif itu adalah untuk menghargai peranan mereka selama ini.

"Tujuan membawa mereka ke COP29 adalah mahu mereka menghargai jerami yang dibakar selama ini. Jerami itu dibeli Free The Seed dan dijadikan produk yang sudah dieksport ke luar negara. 

"Kita mahu pesawah menjadi sebahagian daripada perjalanan melihat jerami yang dijual dan dijadikan produk," katanya sambil menambah persidangan itu penting untuk memberi pendedahan kepada petani tentang perubahan iklim akan menjejaskan sektor pertanian.

Penyertaan Malaysia pada COP29 berlangsung dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku itu bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025.

Delegasi Malaysia disertai lebih 200 orang dan diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan Shift for Sustainability: Climate Action Now! diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan