WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fahmi Mahu Rombakan Fasa 2 Jendela, Semak Semula Proses Penetapan Lokasi

20/11/2024 01:28 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Terdapat keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa 2 Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan keberkesanan program tersebut, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata proses penetapan lokasi menara telekomunikasi perlu dikaji semula susulan pelbagai isu berkaitan ketidaksiapan menara dan kelewatan penyediaan kesalinghubungan oleh syarikat-syarikat yang diamanahkan.

“Saya minta untuk Fasa 2 JENDELA dirombak keseluruhan proses itu dan kita mengkaji semula cara kita tetapkan lokasi.

“Bayangkan, ada kontrak yang telah dikeluarkan untuk lokasi tertentu, tetapi selepas dua tahun, syarikat menyatakan mereka tidak dapat membina menara di lokasi tersebut. Bagi saya, itu tidak masuk akal,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bulan November di sini, hari ini.

Fahmi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar ketidaksiapan menara di bawah Fasa 1 JENDELA, khususnya di Sabah, yang masih memerlukan perhatian serius.

“Sebagai contoh, di Sabah, setakat ini hanya 215 daripada 382 menara yang sepatutnya diserahkan telah siap. Lebih mengecewakan, daripada jumlah itu, hanya 61 peratus, atau 130 menara, yang berstatus ‘on air’,” katanya.

“Ini sangat tidak memuaskan. Setiap kali saya ke Sabah, kita akan adakan perbincangan dengan syarikat-syarikat yang diamanahkan. Mereka menandatangani kontrak, setuju untuk lakukan, tapi culas dan lewat,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi turut meluahkan kekecewaan terhadap syarikat telekomunikasi (telco) besar yang dilihat gagal menjalankan tugas mereka.

“Kadangkala, menara telah siap lebih sembilan bulan tetapi masih tidak ‘on air’. Saya telah memanggil setiap CEO untuk memberi peringatan: " Anda mesti siapkan tugas ini. Jika tidak, saya akan dedahkan nama dan nombor telefon anda di menara tersebut supaya rakyat tahu siapa yang melengah dan melambatkan projek ini.

“Selepas ini, saya mahu setiap ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mengetahui syarikat mana yang diberi tanggungjawab menyiapkan menara, dan telco mana yang bertanggungjawab menyediakan kesalinghubungan,” tegas beliau.

Menurut Fahmi, Jendela adalah program yang bertujuan untuk membantu rakyat di kawasan pedalaman yang tidak mendapat liputan telekomunikasi, dan bukan berasaskan keuntungan komersial.

“Ini adalah program untuk rakyat. Selepas ini, saya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menghantar surat kepada setiap ADUN dan Ahli Parlimen bagi memaklumkan syarikat telekomunikasi mana yang gagal menyiapkan kerja selepas menara disiapkan,” katanya.

Program JENDELA yang dilancarkan pada 2020, adalah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan