WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IAQ Solutions Raih Anugerah Pembina Terbaik MCIEA 2024

20/11/2024 03:43 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- IAQ Solutions Sdn Bhd menerima Anugerah Pembina Terbaik pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan (MCIEA) 2024 sebagai pengiktirafan terhadap projek kemudahan pengujian pembuatan Robert Bosch.

Ketua Pegawai Eksekutif IAQ Solutions Tiew Soon Aik berkata anugerah itu menjadi lambang pengiktirafan bagi kegigihan serta dedikasi syarikat sejak penubuhannya selain pencapaian yang memaparkan komitmen berterusan terhadap inovasi, kualiti dan kecemerlangan dalam pembinaan berteknologi tinggi.

“Ini satu penghargaan industri kepada kami yang menjadi sebahagian daripada pembina dalam sektor ini di Malaysia. 

“IAQ telah ditubuhkan pada 1994. Kami berkhidmat kepada sebahagian besar syarikat multinasional (MNC) yang datang serta melabur dalam negara ini, termasuk syarikat-syarikat berteknologi tinggi khususnya syarikat semikonduktor,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tiew menyifatkan anugerah itu sebagai pencapaian yang membanggakan selain menjadi peringatan kukuh terhadap impak usaha pasukan dalam merangka pembinaan kemudahan yang membentuk masa depan.

“Kami menyasarkan untuk terus berperanan menjadi pihak yang meletakkan penanda aras baharu dalam aspek kejuruteraan dan pembinaan serta melangkaui sempadan teknologi dengan menumpukan keselamatan, kelestarian dan kecemerlangan,” katanya.

IAQ merupakan peneraju serantau dalam perkhidmatan reka bentuk kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan penyelesaian turnkey bagi industri kemudahan berteknologi tinggi.

 

Kehadiran Global

Selain Malaysia, Tiew berkata menerusi kehadiran di peringkat global seperti di Singapura, China dan Eropah, IAQ memanfaatkan kepelbagaian serta berteraskan maklumat untuk merealisasikan prestasi membanggakan bagi setiap projek.

IAQ juga, katanya, turut dipelawa oleh MNC untuk berkembang di negara-negara tertentu sebagai sokongan terhadap pengembangan mereka di China dan Eropah.

“Pada masa ini, kami mempunyai empat pejabat di Eropah yang bermula di Poland dan seterusnya Perancis dan Sweden. Terbaru, kira-kira sebulan lepas, kami membuka pejabat di Jerman yang seiring hasrat untuk berkhidmat bagi syarikat-syarikat seperti Intel dan Infineon.

“Saya sendiri baru balik dari Jerman pada minggu lepas untuk menemui kalangan pelabur di kawasan itu. Mereka menghargai usaha serta kepakaran dimiliki IAQ sebagai sebuah syarikat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata IAQ turut membawa bersama barisan jurutera Malaysia yang telah dilatih di luar negara sebagai membuktikan keupayaan Malaysia yang lebih baik daripada sebahagian besar syarikat-syarikat Eropah.

 

Penerimagunaan Digital, Kemampanan

Dalam pada itu, Tiew berkata pelanggan IAQ tidak hanya bersandarkan kepada kepakaran pembinaan dimiliki syarikat itu, tetapi keupayaan untuk saling berkaitan dengan persekitaran kritikal serta prasarana maju yang menyumbang kepada pencapaian bermakna dalam industri itu.

“Industri ini termasuk semikonduktor, bioteknologi, penyejukan tenaga serta pusat data. Industri sebegini tidak hanya memacu aspek inovasi teknologi, tetapi turut membentuk cara hidup serta kerja. 

“Kepercayaan yang diberi hanya memberi inspirasi kepada kami untuk terus menyasarkan pencapaian lebih tinggi, menerimaguna inovasi dan menyampaikan projek-projek dengan kualiti dan kejituan yang mantap,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan dan tahap piawaian pelanggannya, beliau berkata IAQ telah menggunapakai pakai pembinaan digital dan pengurusan projek terkini selain turut menyepadukan teknologi canggih seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Pengurusan Pembinaan Awan ke dalam prosesnya.

Selain itu, aspek kemampanan turut menjadi teras misi syarikat berikutan kemudahan berteknologi tinggi yang sering memerlukan tenaga dan sumber meluas.

Sehubungan itu, kata Tiew, IAQ menyasarkan untuk mencari penyelesaian lebih hijau dan membina masa depan yang lebih mampan.

"Sama ada penggunaan bahan mesra alam atau reka bentuk inovatif yang memaksimumkan kecekapan tenaga, kami sentiasa berusaha untuk mengurangkan jejak alam sekitar serta menyokong matlamat kemampanan di peringkat pelanggan kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan