WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiada Cadangan Tarik Subsidi Minyak Masak Peket - Rafizi

20/11/2024 04:22 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menarik subsidi minyak masak peket.

Rafizi berkata kenyataan beliau sebelum ini telah diambil di luar konteks.

Beliau berkata kenyataannya sebelum ini adalah menyentuh mengenai usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan ketirisan, bukan menjurus kepada pemansuhan subsidi barangan keperluan itu.

"Saya ditanya soalan bersifat umum, apa kita nak buat pasal ketirisan minyak peket ini? Jadi jawapan saya ialah setiap program itu kalau ada ketirisan memanglah ada penilaian dan perbincangan.

“Itu yang disebut tetapi dilaporkan ialah kerajaan bercadang untuk menghapuskan subsidi minyak peket,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Innovathon Musim Kedua di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan isu pemansuhan subsidi minyak masak peket ada dibincangkan kerajaan bagi mengatasi masalah ketirisan.

Sementara itu, mengenai program Innovathon, sebanyak 56 orang peserta yang telah melepasi proses saringan pada sesi ujibakat Innovathon, iaitu program realiti televisyen khusus memberi peluang kepada rakyat mengembangkan idea inovatif di negara ini.

Program  berkenaan akan bersiaran dalam lapan episod bermula 30 Nov ini, dan pemenang terpilih berpeluang memenangi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan dengan nilai terkumpul sehingga RM1 juta.

Selain diberi bimbingan, peserta berpeluang mempersembahkan idea mereka diperingkat The 100 Pitch kepada 100 bakal pengguna yang dipilih daripada pelbagai latar belakang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan