WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DVS Lancar Kod Etika Dan Tatakelakuan

21/11/2024 08:43 PM

PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini melancarkan Kod Etika dan Tatakelakuan DVS yang menggabungkan komponen nilai, etika dan tatakelakuan yang perlu dipatuhi dan dibudayakan oleh warga kerja jabatan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid berkata Kod Etika dan Tatakelakuan DVS, yang mengandungi tiga komponen utama iaitu 17 Nilai Teras DVS; enam Prinsip Etika DVS; dan 23 Tatakelakuan; merupakan salah satu inisiatif utama yang telah diwujudkan di bawah Pelan Strategi Antirasuah dan Integriti Veterinar 2022-2026 atau STRIVE.

"Dalam misi untuk menyediakan perkhidmatan veterinar yang berkualiti di Malaysia, jabatan ini beriltizam untuk melaksanakan tugasnya dengan penuh integriti dan tanggungjawab bagi memastikan seluruh warga jabatan bebas daripada sebarang isu tatakelakuan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan kesalahan tatatertib.

"Justeru, Kod Etika dan Tatakelakuan DVS telah dibangunkan sebagai panduan yang menghimpunkan nilai, etika dan tatakelakuan untuk dihayati serta dibudayakan oleh semua warga DVS dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada negara," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti DVS Tahun 2024 di sini hari ini.

Kod Etika dan Tatakelakuan DVS itu dilancarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Azah Hanim Ahmad.

Di bawah Kod Etika dan Tatakelakuan DVS itu, antara 17 Nilai Teras yang perlu diamalkan setiap masa oleh pegawai jabatan itu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ialah adil, amanah, benar, berani, bijaksana, cekal, ikhlas, rajin, taat setia dan telus.

Enam Prinsip Etika DVS pula memerlukan pegawai jabatan itu melaksanakan etika kerja berlandaskan prinsip berintegriti; akauntabiliti; mematuhi dan mendaulatkan undang-undang; mengamalkan budaya kerja yang mulia dan sempurna; mengamalkan ciri-ciri profesionalisme; dan menjaga kerahsiaan.

Di bawah elemen Tatakelakuan, pegawai DVS perlu berpegang dengan Aku Janji untuk Pegawai Awam, bilamana mereka dituntut untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Azah Hanim dalam ucapannya berkata penghayatan dan pelaksanaan Kod Etika dan Tatakelakuan itu boleh memantapkan lagi integriti warga DVS yang seterusnya boleh mengekang isu tatakelakuan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan kesalahan tatatertib.

"Bagi saya, pembangunan Kod Etika dan Tatakelakuan oleh DVS ini adalah satu pencapaian yang membanggakan.

"Kod Etika dan Tatakelakuan ini wajar menjadi satu seruan kepada semua warga DVS untuk mempunyai nilai, integriti dan etika yang tinggi dengan menjadikan dokumen ini sebagai satu landasan kepada setiap tindakan dan keputusan di jabatan ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan