WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dewan Rakyat Dan Negara Terima Kunjungan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam

21/11/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam di Bangunan Parlimen hari ini. 

Delegasi yang diketuai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam itu tiba di bangunan berkenaan kira-kira 4.30 petang dan kemudian mengadakan perbincangan hampir sejam bersama Johari, disusuli pertemuan dengan Awang Bemee.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, kunjungan itu mencerminkan hubungan erat yang terus berkembang antara Malaysia dan Vietnam dengan fokus kepada kerjasama strategik dalam pelbagai bidang seperti keselamatan, ekonomi dan diplomasi. 

Pertemuan itu juga memperkukuh lagi hubungan erat antara Parlimen Malaysia dan Vietnam yang menyokong agenda diplomasi parlimen serantau dan antarabangsa serta hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

“Kedua-dua pihak sependapat bahawa kerjasama ekonomi adalah asas penting dalam memastikan hubungan dua hala terus kukuh dan relevan dalam era globalisasi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu, Johari turut menyentuh mengenai kepentingan peranan diplomasi Parlimen dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan menyokong usaha ASEAN untuk memastikan kestabilan serantau.

“Lam pula menyatakan komitmen Vietnam untuk terus menjalin hubungan erat dengan Malaysia, sambil mengiktiraf pentingnya kerjasama strategik bagi memperkukuh integrasi ASEAN dan mempererat hubungan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Lam yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari tiba di Malaysia pagi tadi, sejurus itu beliau menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya.

Ini kemudian diikuti pertemuan bersama Anwar bagi memperkukuh hubungan dua hala serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); serta Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Ini lawatan pertama Lam ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos tahun ini.

Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam dalam ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan