KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Putrajaya berjaya menahan seramai 45 warga asing serta dua rakyat tempatan menerusi Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Rantau Panjang, Pasir Mas dekat sini semalam.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata pihaknya telah menahan seramai 13 lelaki dan 22 wanita warga Indonesia, lapan lelaki dan seorang perempuan warga Thailand, seorang lelaki warga Myanmar serta dua lelaki warganegara Malaysia.
"Operasi yang bermula pukul 9 malam itu turut disertai seramai 15 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan negeri dan ibu pejabat Putrajaya.
"Bertindak atas hasil risikan, pasukannya telah membuat pemeriksaan terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan van 'Road Tour' di laluan pejalan kaki berhadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua warga asing berusia antara 23 hingga 67 tahun disyaki dengan munasabah telah melanggar peraturan dan undang-undang itu telah dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
"Setiap majikan perlu menggaji warga asing mempunyai pas yang sah dan mengingatkan orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi pendatang tanpa izin ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial