WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BMI Unjur Harga Purata Minyak Sawit RM3,900 Setan Pada 2025

21/11/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, mengunjurkan harga purata minyak sawit pada RM3,900 setan untuk 2025, turun daripada anggaran RM4,050 setan pada 2024.

Penganalisis Komoditi BMI Matthew Biggin mengaitkan unjuran itu dengan bekalan alternatif yang mencukupi, persaingan daripada minyak makan lain dan prospek permintaan import yang tidak menentu dalam pasaran-pasaran pengguna utama.

 “Ini akan memberikan tekanan ke atas harga minyak sawit dalam tempoh 12 bulan akan datang. Salah satu faktor penurunan harga ialah premium harga minyak kacang soya berbanding minyak sawit, yang telah menyusut dengan ketara sepanjang 2024.

 “Pada September, kerajaan India memutuskan untuk menaikkan tarif importnya ke atas minyak makan mentah dan minyak makan ditapis, termasuk minyak sawit yang telah menjejaskan prospek permintaan import,” katanya semasa webinar hari ini.

Biggin juga mengunjurkan penurunan satu peratus dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia kepada 19.6 juta tan untuk tempoh 2024-2025.

“Penurunan itu mencerminkan kedua-dua kesan asas yang tinggi berikutan prestasi yang lebih baik pada musim 2023-2024 dan kesan gangguan penurunan hujan di Asia Tenggara pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Mengenai cabaran industri yang lebih meluas, Biggin berkata sektor minyak sawit Malaysia mesti beralih kepada model pertumbuhan yang memfokuskan peningkatan produktiviti yang konsisten bagi mencapai pertumbuhan pengeluaran yang mampan.

Beliau berkata peralihan itu diperlukan disebabkan kos buruh yang meningkat, kekangan tanah dan kebimbangan terhadap penjagaan alam sekitar yang semakin meningkat.

 “Peralihan ini akan memerlukan pelaburan yang besar dan disalurkan semula dalam sektor ini, memfokuskan kepada penggantian pokok-pokok tua dengan stok ladang baharu dan mengguna pakai mekanisasi bagi menjimatkan tenaga kerja.

“Selain itu, pelaburan dalam amalan penyesuaian perubahan iklim, teknologi dan langkah-langkah daya tahan lain akan menjadi semakin penting, menimbulkan cabaran untuk sektor minyak sawit Malaysia,” katanya.

Biggin juga berkata pengurangan eksport dari Indonesia boleh memberi peluang kepada Malaysia untuk mendapatkan semula bahagian pasaran dalam pasaran minyak sawit global.

 Beliau berkata permintaan yang meningkat untuk bahan api pengangkutan rendah pelepasan di pasaran antarabangsa, ditambah pula dengan mandat domestik dan perundangan alam sekitar, boleh meningkatkan peranan minyak sawit Malaysia sebagai bahan mentah bagi biodiesel dan bahan api mampan lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan