WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Ajak Orang Ramai Hadir Ke Program Dua Tahun Kerajaan MADANI

21/11/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai hadir ke Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan berlangsung bermula esok hingga Ahad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata program itu ialah inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama dua tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.

“Insya-Allah, saya akan turut hadir merasmikan Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pada Sabtu ini.

“Ia bakal menjadi detik penting untuk penjawat awam yang akan memperbaharu tekad, selaras agenda reformasi perkhidmatan awam di bawah Kerajaan MADANI,” kata beliau.

Perdana Menteri memaklumkan pengunjung turut berpeluang untuk mendapatkan potongan harga bagi barangan keperluan.

Program 2TM dengan tema "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni" yang akan berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat. 

Selain pameran perkhidmatan daripada kementerian terlibat, pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai antaranya reruai usahawan serta Jualan Rahmah MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan