WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Malaysia Optimis Terhadap Pertumbuhan Tahun Depan - Wahid Omar

21/11/2024 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd optimis mengenai prospek pada 2025, berdasarkan senarai tawaran awam permulaan (IPO) dalam perancangan yang kukuh dan pasaran modal yang aktif, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 46 penyenaraian pada tahun ini, dengan senarai yang kukuh pada masa depan.

“Tumpuan kami kekal kepada memenuhi tujuan kami sebagai pasaran apabila perniagaan boleh mengumpul modal daripada pelabur untuk menyokong pertumbuhan mereka,” katanya di luar Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 hari ini.

Beliau berkata bursa mengalu-alukan syarikat daripada semua saiz — kecil, sederhana dan besar — untuk menyertai pasaran, yang telah menjadi faktor utama mendorong senarai yang kukuh.

Abdul Wahid berkata arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bursa meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan masa pemprosesan kepada dalam tempoh tiga bulan telah mewujudkan minat yang tinggi dalam penyertaan pasaran.

“Perdana Menteri mahu melihat lebih banyak syarikat memasuki pasaran, dan sudah tentu, komuniti pembrokeran dan penasihat kami semua memainkan peranan mereka, justeru, senarai pada 2025 dilihat baik,” katanya.

Semalam, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata peningkatan permodalan pasaran ekuiti Malaysia pada tahun ini, yang melepasi RM2 trilion, adalah bukti ekonomi negara pulih.

Beliau turut memuji Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia atas usaha berterusan mereka dalam memastikan pasaran modal berkembang maju dan kekal menarik kepada pelabur.

Mengenai ASEAN 2025, Abdul Wahid berkata bursa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan SC untuk menyelaras beberapa program yang dirancang untuk tahun depan.

Bagaimanapun, katanya butiran mengenai program ini masih belum diumumkan berikutan ia masih dalam peringkat perancangan.

“Kami yakin Malaysia akan terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif ASEAN, termasuk dalam sektor perkhidmatan kewangan dan pasaran modal,” katanya.

Beliau turut menekankan pemeteraian memorandum persefahaman baru-baru ini dalam kalangan semua bursa ASEAN, menyifatkannya sebagai permulaan kepada aktiviti dan kerjasama yang dijangkakan pada tahun akan datang.

Katanya usaha Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan serantaunya adalah tepat pada masanya, berdasarkan potensi pertumbuhan yang ketara di ASEAN, pasaran dengan 700 juta orang.

Bagaimanapun, katanya perdagangan antara ASEAN kekal di bawah 30 peratus.

“Ini adalah inisiatif berterusan dan dengan Malaysia mengambil peranan utama, kami berharap dapat melihat lebih banyak syarikat Malaysia yang memacu peningkatan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan