WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UTM Berjaya Lahirkan 63 Graduan Luar Kampus 

21/11/2024 11:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya melahirkan 63 graduan luar kampus menerusi program francais luar negara di Qaiwan International University (QIU) di Kurdistan, Iraq sempena Majlis Konvokesyen ke-68 universiti itu. 

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail menyifatkan kejayaan itu suatu pencapaian membanggakan universiti dan negara.

“Ini satu daripada pencapaian amat membanggakan kerana ternyata program francais UTM yang pertama seumpamanya ditawarkan di Timur Tengah.

“Impak kepada inisiatif UTM mewujudkan program francais luar negara ini juga seiring dengan kerangka Pendidikan Tinggi, khususnya bagi elemen pengantarabangsaan sepertimana dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata dengan kewujudan kampus itu, lebih banyak program akademik UTM mampu ditawarkan kepada rakyat Iraq, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja profesional melalui QIU bagi memenuhi keperluan serantau.

“Pelbagai kerjasama baharu akan diterokai termasuk penawaran program Sarjana dan PhD, program pembangunan profesional, penyelidikan, perundingan dan inisiatif lain yang signifikan untuk manfaat kedua-dua  pihak,” katanya. 

Ahmad Fauzi berkata kohort kedua graduan luar kampus UTM itu hasil kerjasama program Pendidikan Transnasional (TNE) antara QIU dengan UTM melalui UTMSPACE yang mula digerakkan sejak enam tahun lepas.

Seramai 22 graduan adalah daripada program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), lapan daripada program Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer) dan enam program Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi).

Selain itu, seramai 14 graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan (Perubatan) dan 13 lagi graduan Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia). 

Penubuhan QIU pada 2017 ialah inisiatif daripada dua alumni UTM iaitu Dr Harith R. Hasan dan Dr Ahmed Abdullah yang kini merupakan Timbalan Presiden (Akademik) QIU.

Pada Ogos 2018, kampus sementara QIU di Sulaimaniyah telah dibuka secara rasmi dan QIU kemudian berpindah ke kampus baharu di Sulemani Heights, Sharbazher. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan