WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Untung Bersih Suku Ketiga Affin Bank Meningkat Kepada RM145.82 Juta

22/11/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Affin Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu RM145.82 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 berbanding keuntungan bersih RM100.45 juta pada suku sama tahun kewangan 2023.

Menurut kenyataan Affin Bank pada Jumaat, perolehan juga melonjak kepada RM612.77 juta daripada RM500.44 juta bagi tempoh yang sama, mencerminkan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

Bagi sembilan bulan terkumpul tahun kewangan 2024, keuntungan bersih bank itu meningkat kepada RM374.61 juta daripada RM362.66 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2023, manakala perolehan pula meningkat kepada RM1.61 bilion daripada RM1.50 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata prestasi suku ketiga itu menunjukkan kemajuan bank ke arah pelan “Affin Axelerate 2028” (AX28).

Beliau berkata pelan itu menetapkan tonggak strategik Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan; Kepimpinan Digital; dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak.

Usaha transformatif itu, didorong oleh pelaksanaan yang cekap dan kekukuhan lembaran imbangan meletakkan Affin Bank pada trajektori yang positif untuk mencapai pertumbuhan mampan, walaupun menghadapi cabaran makroekonomi dan geopolitik, katanya.

“Pelancaran segmen perbankan persendirian eksklusif, Affin Diventium, pada 3 Sept, 2024, mempelbagaikan lagi model perniagaan kami dan memenuhi keperluan sofistikated individu yang sangat bernilai tinggi.

“Langkah strategik ini akan menyumbang kepada momentum perniagaan Affin Group,” katanya.

Affin Bank menjelaskan pihaknya mencatatkan pendapatan faedah bersih (NII) RM600.7 juta, susut RM4.9 juta atau 0.8 peratus daripada RM605.6 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2023.

“Pendapatan bukan faedah bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 adalah RM513.3 juta, meningkat RM63.7 juta atau 14.2 peratus daripada RM449.6 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2023,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan ini, jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun kepada RM70.6 bilion.

Perkara itu disumbangkan terutama oleh pertumbuhan segmen perbankan komuniti sebanyak 12.0 peratus, dengan segmen perbankan korporat dan segmen perbankan perusahaan masing-masing berkembang 6.5 peratus dan 4.7 peratus, tambahnya.

“Pinjaman perumahan meningkat sebanyak 10.4 peratus, manakala pinjaman pembiayaan automotif berkembang 7.6 peratus.

“Deposit pelanggan kumpulan pula meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM74 bilion bagi sembilan bulan 2024, manakala akaun semasa/akaun simpanan (CASA) merekodkan RM19.9 bilion serta nisbah CASA berada pada 26.86 peratus bagi tempoh berakhir 30 Sept, 2024,” jelas Affin Bank.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan