WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program 2TM: Orang Ramai Lega Tawaran Diskaun 60 Peratus, Urusan Pantas Dan Lancar

22/11/2024 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kaunter semakan dan bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'laris’ apabila diserbu pengunjung sejak dibuka pagi tadi, berikutan tawaran diskaun saman hingga 60 peratus pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui Bernama berkata peluang itu tidak wajar dilepaskan kerana diskaun diberikan kali ini lebih tinggi berbanding 50 peratus sebelumnya, membolehkan mereka menyelesaikan saman tanpa 'terlalu membocorkan poket'. 

Pengunjung Norhayati Razali, 38, juga memuji pengurusan kali ini kerana dapat memastikan semua urusan berjalan lancar dan pantas walaupun orang ramai berbaris, selain pemilihan lokasi membolehkan mereka menunggu dengan dalam keadaan selesa di kawasan berhawa dingin. 

"Saya tidak mengambil masa lama untuk selesaikan saman sendiri, syarikat dan seorang rakan. Kadang-kadang kita tidak sedar disaman dan bila mahu bayar, ada masanya ada kekangan kewangan. Peluang seperti ini membolehkan kita tidak lagi terikat dengan saman. 

"Ikutkan jumlah keseluruhan saman perlu dibayar hari ini untuk tiga pihak ialah RM2,500 namun dengan diskaun diberikan, saya hanya bayar RM1,000. Jadi, memang melegakan kerana saya masih belum gaji," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bekas pendidik C Rajah, 67, memuji inisiatif mewujudkan 25 kaunter untuk semakan dan bayaran saman, dengan tujuh daripadanya dikhususkan kepada warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU) sekali gus melancarkan urusan walaupun pada awalnya agak bimbang melihat jumlah mereka yang menunggu giliran. 

"Saya tiba 9.20 pagi dan kurang dua jam, semua dua saman selesai dibayar dengan jumlah RM100.  Untuk bayar juga boleh dibuat menerusi kad kredit, jadi lebih mudah kerana sekarang ramai yang tidak suka membawa wang tunai. 

"Lokasi (penganjuran 2TM) juga bagus kerana ada pelbagai pilihan pengangkutan awam. Saya datang menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) kerana lebih mudah dan tambangnya juga murah," katanya yang berharap program berkenaan terus diadakan untuk meringankan beban kewangan rakyat. 

Tawaran diskaun itu juga dimanfaatkan warga emas Zaidi Muhammad, 62, untuk menyelesaikan lima saman anaknya pada jumlah keseluruhan RM260 bagi kesalahan meletak kenderaan di luar petak letak kereta.

Dia turut menyifatkan urusan 'sangat bagus' kerana hanya mengambil masa lebih sejam untuk menyelesaikan urusan berbanding jangkaan awalnya dapat pulang ke rumah selepas Solat Jumaat. 

Kaunter pembayaran saman antara pengisian pada Program 2TM yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, dengan bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni'. 

Turut diadakan sempena 2TM ialah Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang akan berlangsung dua hari bermula esok. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan