WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Taiwan Arah Pembunuh Pelajar Malaysia Bayar Pampasan Kepada Keluarga

22/11/2024 03:31 PM

TAIPEI, 22 Nov (Bernama-CNA) -- Sebuah mahkamah dalam prosiding sivil pada Khamis memutuskan bahawa seorang lelaki Taiwan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Januari 2024 kerana membunuh seorang pelajar Malaysia, perlu membayar lebih NT$6 juta (US$196,020) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Mahkamah Daerah Shilin memerintahkan Chen Po-yen untuk membayar NT$3,010,355 dan NT$3,369,999 masing-masing kepada ibu dan bapa pelajar universiti wanita yang dicekiknya sehingga mati, dengan faedah tahunan lima peratus dikira mulai Ogos 2023.

Keputusan mahkamah itu boleh dirayu.

Chen, yang berusia 30 tahun ketika kejadian, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh pelajar universiti dikenali dengan nama keluarga Chai pada Oktober 2022.

Mahkamah Daerah Shilin mendapati Chen bersalah atas tuduhan membunuh pada Januari, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Taiwan pada Jun lalu.

Chen mengaku mencekik Chai sehingga mati di rumah sewanya selepas mangsa enggan memulangkan sebahagian daripada NT$99,999 yang telah dipindahkan ke dalam akaunnya, menurut kenyataan Mahkamah Daerah Shilin pada Januari.

Chai, yang berusia 24 tahun ketika kejadian sedang menuntut di sebuah universiti di Taipei dan bekerja sebagai model sambilan serta penstrim langsung di media sosial, menurut polis.

-- BERNAMA-CNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan