KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan pelaburan perniagaan durian di Singapura, tahun lepas.
Mengikut pertuduhan, Elly Co, 47, dan anak lelakinya, Tee Lian Yong, 26, didakwa bersama-sama menipu Tan Yu Lee, 41, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan pelaburan perniagaan durian di Singapura yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM55,000 sebanyak dua kali ke akaun bank milik Tee.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Terminal Bas Bersepadu, Bandar Tasik Selatan di sini pada 20 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Jason Cheong Kah Lok dan Azrie Hanafie Rosli yang mewakili kedua-dua tertuduh, bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan faktor kewangan kerana anak guam mereka hanya bekerja sebagai pekerja ladang durian.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 6 Jan depan untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial